Ahmad Zahid Sifatkan Lawatan Li Qiang Bukti Komitmen Hubungan 50 Tahun Malaysia – China

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lawatan rasmi Premier Republik Rakyat China, TYT Li Qiang ke Malaysia bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China menunjukkan komitmen kedua-dua negara.

Katanya, hubungan antara Malaysia dan China telah berkembang pesat selama lima dekad ini dan lawatan Li Qiang memperlihatkan komitmen kedua-dua negara untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, pelancongan, teknologi dan lain-lain.

“Pagi ini, saya telah menghadiri Istiadat Sambutan Rasmi Sempena Lawatan Rasmi Premier Republik Rakyat China, TYT Li Qiang di Dataran Perdana.
“Ini merupakan lawatan pertama beliau sebagai Premier Republik Rakyat China ke Malaysia.

“Lawatan beliau juga adalah bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Tun Abdul Razak dan TYT Chou En Lai pada 31 Mei 1974,” kata Ahmad Zahid menerusi laman Facebooknya hari ini.

Sehubungan itu beliau percaya bahawa lawatan tersebut akan membuka lembaran baru untuk kedua-dua negara.

“Saya percaya bahawa lawatan ini akan membuka lembaran baru dalam hubungan dua hala kita dan membawa manfaat yang besar kepada kedua-dua negara,” jelasnya.

Kemudian Ahmad Zahid telah mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi Chian dalam mesyuarat dua-hala yang membicarakan tentang pelbagai fokus yang turut memberikan tumpuan terhadap kerjasama di dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Seperti yang ditekankan di dalam lawatan saya ke Negara China baru-baru ini, salah satu cabang kerjasama yang giat dijalankan adalah dengan mengadakan pelbagai perkongsian pintar untuk mengambil sebanyak manfaat daripada kemajuan teknologi China yang sedang berkembang pesat.

“TYT Li Qiang turut menzahirkan rasa gembira beliau terhadap prestasi universiti TVET di Malaysia dan telah menawarkan 5,000 biasiswa percuma kepada rakyat Malaysia dalam industri TVET. Ini merupakan satu peluang keemasan yang akan memberikan manfaat besar kepada sektor pendidikan dan latihan teknikal negara.”

Jelas Ahmad Zahid, ini adalah sebahagian daripada kejayaan yang lahir dari hubungan diplomatik yang akrab di antara kedua-dua negara yang telah menjangkau ke tahun yang ke-50.

“Banyak lagi yang dibincangkan secara bersama termasuklah tentang pembasmian kemiskinan, sektor pendidikan dan keselamatan, juga menambahbaik usahasama dalam bidang teknologi dan pertanian.

“Saya optimis, melihat daripada sesi perbincangan hari ini, hubungan Malaysia-China akan terus berkembang dan akhirnya memberikan impak yang besar untuk seluruh rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Semoga usaha ini diberkati dan berjaya mencapai kejayaan yang diimpikan. Insya-Allah,” katanya lagi.

Dilaporkan, lawatan Li itu merupakan julung kalinya diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Pada 2023 China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.