Terap Pemahaman Perlembagaan Dari Awal, Fahami Pembentukan Negara – Azhar

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Generasi muda perlu diberikan pendedahan awal untuk memahami perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad.

Menurut beliau perkara tersebut boleh dilakukan dengan pelaksanaan subjek Perlembagaan Persekutuan di peringkat sekolah dan seterusnya di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT).

“Saya cadangkan kepada pemerintah untuk diadakan tiga atau dua jam kredit untuk semua pelajar-pelajar sama ada kepada bumiputera dan bukan bumiputera untuk belajar Perlembagaan Persekutuan di semua universiti ataupun di tingkatan lima dan enam dah mula diajarkan dengan mata pelajaran ini.

“Supaya anak-anak ini daripada kecil dah faham pembentukan negara, hak-hak kita di dalam Perlembagaan serta Perlembagaan menyebut agama. Jadi, saya rasa kalau difahami daripada usia yang muda, mereka tidak cepat dipengaruhi pemikiran-pemikiran kuning untuk merosakkan hubungan di antara kaum.

“Jika tiada pendidikan, kadang-kadang anak-anak ini pun dia tak faham orang lain yang suka ‘menjolok’ ni, orang lain yang bagi mercun dan anak-anak muda kita yang menyalakan mercun itu sehingga terbakar,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Azhar yang juga Ahli Dewan Negara berkata ini bagi mendidik sekaligus membentuk generasi muda yang menghormati kepelbagaian kaum serta memahami hak-hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana menurut beliau meskipun Perlembagaan Persekutuan mengandungi kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak namun ia tidak menyekat kebebasan bangsa lain termasuk dalam beragama dan berpendidikan.

“Jadi mudah saja di Malaysia ini hormati Perlembagaan Persekutuan serta prinsip rukun negara, kita akan jadi aman tapi kalau ganggu jadi bermasalah kepada sebuah negara… kerana kalau bangsa dominan rasa diri dia tergugat, pasti dia akan bangkit dan negara itu tak akan aman.

“Cuba lihat di sekeliling kita bila kaum majoriti sebuah negara dihina oleh kaum minoriti, negara itu tidak akan aman jadi baik kita duduk elok-elok hormat Perlembagaan.

“Di Malaysia ini tidak ada halangan kerana tidak ada diskriminasi jantina, tidak ada diskriminasi pendidikan dan diskriminasi dalam politik asalkan patuh 3R (agama, raja dan kaum),” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.