Skuad Sayang 3K Lancar Tabung Palestin 2.0

 

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Skuad Sayang 3K Kebangsaan melancarkan Tabung Palestin 2.0 kepada rakyat Palestin sebagai tanda solidariti membantu mereka yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya menyasarkan RM500,000,00 sumbangan akan berjaya dikumpul.

Menurutnya, sumbangan Tabung Palestin 2.0 akan diserahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada bulan Ogos nanti.

“Kali ini Skuad Sayang 3K melancarkan semula Tabung Palestin 2.0 dan sumbangan itu akan diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024. Kita ada beberapa bulan lagi untuk membuat kutipan ini dan sasarkan RM500,000.00. Melalui Wanita UMNO bahagian dengan cara masing-masing bagaimana hendak kutip dana ini.

“Pada Tabung Palestin 1.0, Wanita UMNO telah mengumpul sejumlah RM621,954.60 dan menyerahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan Menteri Luar Negara ketika itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata di peringkat UMNO bahagian-bahagian akan memulakan kutipan Tabung Palestin 2.0 dan dana tersebut akan dilakukan dengan telus.

“Kita telah lancarkan ke peringkat Pusat dan selepas ini akan turun ke bahagian-bahagian UMNO. Ini bermaksud peringkat bahagian-bahagian akan memulakan kutipan untuk Palestin 2.0 ini sesegera yang boleh dan kemudian akan kumpulkan dengan sangat ‘transparent’.

“Sumbangan tersebut boleh melalui tunai dan terus masuk ke dalam akaun. Sekiranya tunai akan disaksikan oleh panel dan dikumpulkan serta diserahkan kepada Presiden UMNO,” katanya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut mengalu-alukan sumbangan daripada rakyat Malaysia yang boleh diberikan menerusi 8604795425 (CIMB – Wanita UMNO Malaysia).

Terdahulu, pada 27 Nov lalu Wanita UMNO Malaysia melancarkan tabung Palestin ‘Kembalikan Senyuman Kepada Mereka’ untuk digerakkan ke seluruh negara.

Ia sebagai keprihatinan Wanita UMNO Malaysia kepada rakyat Palestin yang dinafikan hak untuk berada di tanah air mereka sendiri. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.