Mohamad Hasan Seru Masyarakat Antarabangsa Ganda Usaha Salur Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru masyarakat antarabangsa untuk menggembleng dan menggandakan usaha bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, berikutan situasi rakyat Palestin yang semakin meruncing.

Katanya ini termasuk dalam konteks pemulihan dan pembangunan semula Gaza yang memerlukan sokongan semua pihak memandangkan ia akan memakan kos tinggi dan mengambil masa yang panjang.

“Pada masa yang sama, saya telah menekankan bahawa genjatan senjata yang berkekalan, serta penyelesaian politik perlu dilaksanakan, bagi penyaluran bantuan kemanusiaan yang berkesan.

“Perbincangan juga telah menjurus kepada masalah-masalah utama akibat sekatan rejim Israel, antaranya penutupan pintu sempadan Rafah, larangan ke atas barangan yang mempunyai ciri dwi-guna (dual use), dan kekangan kemasukan lori pengangkutan bantuan kemanusiaan, di mana anggaran keperluan muatan yang diperlukan adalah sebanyak 1,000 lori setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di Facebook sempena hari kedua lawatan kerja ke Jordan mewakili Perdana Menteri dan menyampaikan Kenyataan Negara di Persidangan Peringkat Tinggi “Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza” pada 11 Jun.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, turut menyatakan dengan tegas bahawa semua pihak harus menyokong usaha-usaha ke arah mencapai penyelesaian damai.

Bagi mencapai hasrat tersebut beliau telah menggariskan tiga perkara antaranya punca utama konflik, iaitu pendudukan haram dan kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin harus dihentikan, akauntabiliti melalui ‘reparative approach’ harus disabitkan ke atas Israel serta bantuan kemanusiaan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terutamanya UNRWA harus diperkasakan.

Menurut beliau, penyertaan Malaysia di Persidangan tersebut atas jemputan Raja Jordan, Raja Abdullah II; Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas keterlibatan negara dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan mutlak Palestin.

Sementara itu, Mohamad turut sama berkesempatan mengadakan perbincangan dua hala bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken bagi bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Saya juga telah tekankan pendirian teguh Malaysia dalam perjuangan kebebasan buat penduduk Gaza. Ini termasuklah tuntutan penyelesaian terhadap keganasan dan pembunuhan yang sedang dilakukan ke atas rakyat Palestin mesti di hentikan serta merta .

“Pelan perdamaian yang di taja oleh pihak Amerika Syarikat yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam, mesti dikuatkuasakan secepat mungkin,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.