Manfaatkan Sistem PADU Elak Kekeliruan Berkenaan Penarikan Subsidi – Shamellya

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi berharap agar kerajaan menggerak dan mengaktifkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) supaya maklumat pengelasan golongan seperti B40, M40 dan T20 dapat diselaraskan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berkenaan penarikan subsidi.

Menurut beliau ini kerana penarikan subsidi penuh yang bermula 10 Jun 2024 ini telah menimbulkan pelbagai respon rakyat Malaysia.

“Maklumat ini dapat membantu kerajaan dalam merangka polisi dan memastikan segala bentuk insentif dapat disalurkan kepada golongan sasar yang layak dengan kadar yang segera.

“Ini dapat membantu pihak kerajaan untuk lebih bersiapsiaga dan sebagai penambahbaikan, Puteri mencadangkan agar pada masa hadapan, insentif ini dapat diberikan sebelum subsidi ditarik dan bukannya selepas, bagi mengurangkan bebanan rakyat.

“Penyampaian maklumat secara konsisten dan berperingkat juga dapat membantu menyalurkan informasi yang tepat kepada orang ramai bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pada Ahad, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism’.

Menurutnya, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.