Lima Guru Terlibat Kemalangan Bas Beransur Pulih – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Lima orang guru yang masih menerima rawatan selepas terlibat dalam kemalangan bas persiaran di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, Pahang Ahad lepas berada dalam keadaan stabil dan beransur pulih, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata pegawainya Datuk Fadzlette Othman Merican dan Seriwani Sabtu mewakilinya untuk menziarahi guru-guru berkenaan hari ini.

Tiga orang guru iaitu Rohana Abd Rahman, Siti Azurah Kamarudin dan Nurzafirah Zakaria kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, manakala dua lagi, Hasni Mat Isa dan Norita Che Mohamad dirawat di Hospital Segamat, Johor, menurutnya.

“Saya berdoa agar semua yang ditimpa kemalangan tempoh hari dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kesembuhan dan diberikan afiat sepenuhnya oleh Allah SWT, Amin,“ katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan itu.

Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan pusat perubatan di Pahang, Johor dan Melaka yang memberikan bantuan segera dan kerjasama sepenuhnya kepada guru-guru yang terlibat dalam nahas tersebut.

Dalam nahas jalan berkenaan, empat maut manakala 35 cedera selepas bas yang dalam perjalanan membawa rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras terbabit dalam kemalangan.

Mangsa yang maut ialah Penolong Kanan SK Jeram Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60 dan guru Dahlia Ahmad, 52.

Bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu dilaporkan terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler yang membawa muatan gelung besi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.