Kampung Angkat Madani Rapatkan Jurang Kemudahan Asas Di Antara Desa Dan Bandar – Azalina

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini berbesar hati turun padang menyantuni penduduk tempatan dengan merasmikan program Kampung Angkat Madani di Kampung Bukit Buloh, Pengerang.

Meskipun kesibukan menggalas tanggungjawab kepada negara sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), beliau tetap bersama-sama meluangkan masa hadir untuk melihat sendiri kampung angkat ini yang objektifnya bagi merapatkan jurang kemudahan asas di antara desa dan bandar.

“Pagi tadi, saya telah melancarkan program Kampung Angkat Madani di Kampung Bukit Buloh, Pengerang dengan kehadiran hampir 200 hadirin yang terdiri daripada penduduk kampung dan sekitarnya.

“Alhamdulillah, kerajaan pada 10 Mei lalu telah bersetuju dengan pemilihan Kampung Bukit Buloh sebagai Kampung Angkat MADANI dibawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

“Pada masa yang sama peruntukan sebanyak RM2.5 juta telah disalurkan bagi tujuan pelaksanaan inisiatif ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Azalina dalam pada itu berkata penambahbaikan yang dirancang ini akan bermula bulan Julai dan dijangka selesai bulan Oktober 2024.

Projek ini antara lain merangkumi projek baik pulih jalan asal, pemasangan lampu solar, projek naik taraf Surau Kampung Bukit Buloh dan Masjid Sungai Rengit, baik pulih bumbung dan dinding rumah, pembinaan pintu gerbang dan pemasangan papan tanda dan lanskap.

“Bagi pihak penduduk Kampung Bukit Buloh, Pengerang, saya dan seluruh masyarkat di sini ingin menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah memberikan peluang yang sangat bermanfaat ini.

“Di dalam ucapan, saya turut berpesan kepada penduduk kampung supaya bersama-sama menjaga kebersihan kampung dan memelihara kemudahan yang diberikan setelah ianya siap kelak bagi menjamin kesejahteraan bersama,” ujar beliau.

Turut hadir EXCO Pendidikan dan Penerangan Johor merangkap ADUN Tanjung Surat Aznan Tamin; ADUN Penawar Fauziah Misri; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM); Nur Azlin Awal; Pegawai Daerah Kota Tinggi dan Yang diPertua Majlis Perbandaran Pengerang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.