Pertemuan Malaysia-Sepanyol Bincang Isu Dua Hala, Situasi Di Gaza – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Malaysia dan Sepanyol telah bertemu dan berbincang mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa serta pergolakan di Gaza, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memaklumkan bahawa lawatan kerja hari kedua di Jordan dimulakan dengan pertemuan dua hala bersama Menteri Luar Negeri, Kesatuan Eropah dan Kerjasama Kerajaan Sepanyol, TYT Jose Manuel Albares Bueno.

“Hari kedua di Amman, Jordan dimulakan dengan mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Luar Negeri, Kesatuan Eropah dan Kerjasama Kerajaan Sepanyol, TYT Jose Manuel Albares Bueno di sela-sela Persidangan Peringkat Tinggi ‘Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza’.

“Dalam pertemuan ini, Malaysia dan Sepanyol telah bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, terutamanya situasi di Gaza.

“Turut saya sampaikan penghargaan kepada Kerajaan Sepanyol di atas pendirian berani dan prinsip teguh negaranya dalam mengiktiraf negara Palestin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga telah bertemu dengan Preisden Republik Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sebelum meninggalkan Istanbul.

“Sebelum meninggalkan Istanbul, saya sempat membuat kunjungan hormat kepada Presiden Republik Turkiye, Presiden Recep Tayyip Erdogan di pejabat beliau di Istana Bahvettin, Istanbul.

“Mencadangkan juga agar hubungan dua hala kedua buah negara di pertingkatkan lagi , terutama didalam bidang perdagangan dan pelaburan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan telah tiba di Amman, Jordan pada 9 Jun lalu untuk lawatan kerja yang dirangka sehingga 12 Jun.

Beliau juga telah mewakili Malaysia di Persidangan Peringkat Tinggi bertajuk ‘Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza’ anjuran bersama Raja Jordan, Raja Abdullah II, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.