Lawatan Kerja: Mohamed Khaled Kunjungi Menteri Pertahanan Republik Turkiye

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengunjungi Menteri Pertahanan Republik Turkiye, TYT Yasar Guler sempena lawatan kerjanya ke republik berkenaan.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa Malaysia telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Malaysia – Türkiye High Level Committee on Defence Cooperation (HLC).

“Saya telah berada di Ministry of National Defense (MoND) Republik Turkiye di Ankara untuk bertemu rakan sejawat saya, TYT Yasar Guler.

“Ketibaan saya disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama oleh Pasukan Istiadat dan Perbarisan MoND sebagai simbolik kunjungan rasmi delegasi Kementerian Pertahanan Malaysia di sini.

“Seusai kunjungan hormat berkenaan, kami telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Malaysia – Turkiye High Level Committee on Defence Cooperation (HLC),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau juga telah menyaksikan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama (CFA) antara AIROD dan syarikat pertahanan milik Turkiye, ASFAT.

“Selain daripada bertukar pandangan perihal keselamatan serta pengukuhan hubungan pertahanan antara negara, saya telah diberikan taklimat berkenaan gambaran keseluruhan tentang MoND, ekosistem industri pertahanan Turkiye dan Turkish Armed Forces sendiri.

“Setelah itu, kami telah menyaksikan pemeteraian satu Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama (CFA) antara industri pertahanan tempatan, AIROD dan syarikat pertahanan milik negara Turkiye, ASFAT.

“Semoga hubungan istimewa antara Malaysia dan Turkiye yang telah mencecah 60 tahun pada tahun ini dapat terus dibawa ke tahap yang lebih tinggi, termasuklah dalam konteks pertahanan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.