Bantu Kemenangan Parti Dengan Praktikkan Formula ABCDE

KUALA KRAU, 12 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkongsi formula untuk membantu parti menang dalam pilihan raya iaitu ABCDE dan ia mesti dipraktikkan.

Berucap di Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Kuala Krau, Ahli Parlimen Pontian yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, A merujuk kepada Aktiviti; (B) Berpadu; (C) Calon; (D) Data; dan (E) Emosi.


“A iaitu Aktiviti kena banyak seperti aktiviti keagamaan, perkumpulan menyokong Palestin, Maal Hijrah, ceramah-ceramah, ziarah mesra atau ziarah kasih. B, Berpadu bagi jentera lima peringkat libatkan Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan Veteran. Kalau tidak berpadu… berpecah dan kalah. Begitu juga berpadu dengan NGO (badan bukan kerajaan) dan agensi.

“C iaitu Calon. Runding baik-baik siapa calon yang bersesuaian dan masih boleh terus memimpin. Calon hendaklah mempromosi dirinya lebih awal. D, Data pengundi. Pada 16 haribulan setiap bulan tergazet pengundi-pengundi 18 tahun dan ke atas secara automatik.

“E, Emosi rakyat yang boleh mempengaruhi keputusan rakyat dalam membuat keputusan memilih,” katanya di hadapan hampir 500 ahli akar umbi yang hadir di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim di sini, Ahad petang.

Hadir sama Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal, Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan barisan kepimpinan UMNO Bahagian.

Tambah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu lagi, formula tersebut juga boleh diamalkan dalam teknik berkomunikasi.

“A, Alatan; B, Bersemuka; C, Cetakan; D, Digital; E, Elektronik. Alatan itu tiap-tiap minggu pasang sepanduk ucapan selamat di kawasan tertentu. B, Bersemuka dan berjumpa dalam pelbagai program.

“C, Cetakan seperti risalah, surat khabar. D, Digital dan E, Elektronik seperti aktiviti interaktif secara dalam talian, AI (kecerdasan buatan) dan TikTok,” ujarnya.

Dalam ceramahnya, Ahmad juga menjelaskan fakta bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan parti dan negara, akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI yang mahu Kerajaan Perpaduan ditubuhkan setelah lima hari negara tanpa kerajaan kesan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.