Puteri UMNO Setiu Terus Dekati Wanita Muda, Anjurkan Kejohanan Bola Jaring

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Puteri UMNO Bahagian Setiu terus menyantuni rakyat melalui program-program berbentuk kemasyarakatan.

Pelbagai pendekatan yang dilakukan mereka terutama untuk fokus mendekati wanita muda di kawasan agar bersama-sama dengan Puteri UMNO bagi menyampaikan aspirasi parti keramat ini.

Terbaharu Ketua Puterinya, Che Hafizah Che Mud memaklumkan mereka menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Puteri Bahagian Setiu yang diadakan pada Jumaat lalu di Dewan Jabatan Kerja Raya Setiu.

Penganjuran sukan ini dilakukan bukan hanya untuk mengukuhkan ukhuwah antara puteri bahagian tetapi juga dalam kalangan ahli baharu sayap itu.

Kejohanan tersebut ternyata mendapat sambutan luar biasa kerana penyertaannya mencatatkan lebih 200 orang peserta yang berusaha untuk merebut Piala Ketua Puteri tersebut.

Acara ini juga antara lain diadakan bagi menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk konsisten menjalani gaya hidup sihat meskipun kesibukan dalam urusan pekerjaan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Bazlan Abd Rahman berbesar hati melihat sendiri penganjuran sukan ini dan melakukan perasmian penutup.

Turut hadir Setiausaha Bahagian, Hamdan Hamzah; Ketua Wanita, Wan Nasiah Wan Abdul Majid; Ketua Pemuda, Ahmad Abaidillah Arifin serta kepimpinan bahagian yang lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.