Program Jom Masuk Kampung Aplikasi Kebersamaan Santuni Masyarakat Setempat

JEMPOL, 11 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menzahirkan rasa syukur atas kejayaan Program Jom Masuk Kampung KEMAS Peringkat Negeri Sembilan 2024 yang telah berlangsung pada Jumaat-Sabtu baru-baru ini.

Katanya, aplikasi yang dilaksana menerusi program tersebut dapat memudahkan masyarakat berkaitan pelbagai info dan maklumat tepat khususnya isu-isu semasa yang berlegar dan tular dikalangan awam.

“Kerjasama yang dilaksana melibatkan pelbagai agensi sebagaimana KEMAS yang bertanggungjawab untuk menjadi penggerak kesejahteraan masyarakat luar bandar amat dihargai.

“KEMAS juga berperanan dalam memastikan pembangunan pendidikan awal kanak-kanak, memberikan latihan kemahiran dan kursus yang berkualiti untuk menjana ekonomi keluarga masyarakat luar bandar dan meningkatkan pembangunan modal insan masyarakat luar bandar.

“Peranan warga KEMAS bukan sahaja perlu aktif mendapatkan pelbagai isu masyarakat untuk dipanjangkan kepada pihak berwajib malah lebih daripada itu, anggota KEMAS juga merupakan orang yang tepat dalam menyebarluas maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan,” katanya kepada UMNO Online.

Selari dengan itu Mohd Zaidy menjelaskan bahawa program yang dilaksana di Pekarangan Padang Awam, Felda Palong 2 itu dapat mengelakkan wujudnya golongan yang terpinggir atau tercicir.

“Kerana itulah program ini diadakan iaitu untuk memupuk perpaduan masyarakat dan memastikan rakyat luar bandar tidak tercicir di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

“Kita mahukan semua pihak terlibat secara langsung dan menjadi penyumbang kepada kelestarian dan kestabilan negara demi masa hadapan yang lebih baik.”

Dalam kesempatan tersebut Mohd Zaidy juga melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat bagi menjayakan program tersebut.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang telah bertungkus-lumus menjayakan program yang sangat bermanfaat ini.

“Saya amat berbesar hati dan mengalu-alukan setiap kerjasama dalam ruang dan peluang yang ada kerana pelaksanaan dan kejayaan setiap program dapat memberi pulangan yang amat baik kepada masyarakat setempat.

“Saya sentiasa menyokong apa jua program yang akan dicadangkan apatah lagi yang berkaitan dengan keutamaan kepada masa hadapan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.