Pembangunan Infrastruktur Untuk Masyarakat Sentiasa Jadi Keutamaan – Jalaluddin

JEMPOL, 11 Jun – Pembangunan Infrastruktur untuk masyarakat setempat sentiasa menjadi tumpuan Kerajaan Negeri Sembilan dan ia akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa demi keselesaan penduduk apatah lagi melibatkan kemudahan asas yang perlu dinikmati oleh mereka.

Itu antara tumpuan Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias untuk penduduk di Jempol dalam usaha memastikan penduduk setempat tidak ketinggalan daripada pembangunan yang sewajarnya.

Dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, beliau berkata kemudahan asas dan pembangunan infrastruktur lain untuk rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dan harapan penduduk di Pinggiran Bukit Bunga di Kampung Datok Johan di sini akan terlaksana dalam masa terdekat.

“Selesai mesyuarat jawatankuasa bertindak di Pejabat Daerah Jempol, saya singgah ke kawasan Pinggiran Bukit Bunga di Kampung Datok Johan, antara Batu Kikir dan Simpang Pertang. Kawasan ini merupakan sebuah kawasan perancangan penempatan semula kawasan banjir yang berkeluasan 100 ekar dan terdiri daripada 84 pemilik berdaftar.

“Namun begitu, selepas lebih 30 tahun pemilikan tanah berlaku, masih tiada sebarang kemudahan asas didirikan di kawasan tersebut. Fikir saya perkara sebegini tidak boleh berlaku kepada kehidupan rakyat luar bandar di Negeri Sembilan.

“Justeru saya telah berbincang dengan Pengarah Pejabat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Negeri Sembilan Melaka, Pejabat Daerah dan Tanah Jempol dan pihak-pihak berkepentingan, untuk menyegerakan penyediaan infrastruktur asas di kawasan penempatan ini,” katanya.

Seterusnya berharap agar selewat-lewatnya pada bulan Disember 2024 ini semua infra asas seperti jalan bertar, kemudahan air dan elektrik dapat dinikmati oleh penduduk di sini.

“Jika tiada aral melintang, saya akan datang semula ke sini pada Januari 2025 untuk melihat dan memastikan semua kemudahan asas kehidupan rakyat ini telah tersedia, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.