Malaysia Komited Kerjasama Dengan JHCO Dan KCC Dalam Usaha Bantu Rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Malaysia komited untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Hashemite Jordan (JHCO) dan Pusat Kanser Raja Hussein (KHCC) dalam usaha membantu rakyat Palestin pada masa kini dan akan datang.

Demikian tegas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkenaan pendirian Malaysia yang terkesan terhadap kesengsaraan dihadapi oleh umat Islam Gaza yang pada ini masih lagi berhadapan dengan penindasan oleh rejim Zionis.

Dalam rangka kerja ke Jordan, beliau menyampaikan cek simbolik bernilai USD1,000,000 kepada JHCO dan KHCC, hasil solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia melalui sumbangan ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dan berkesempatan mengadakan lawatan ke pusat operasi JHCO dan KHCC yang menjadi pusat bantuan dan rawatan kanser untuk rakyat Palestin.

“Dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung JHCO, Dr Hussein Mohammad Al-Shebli, saya dimaklumkan bahawa JHCO menggunakan Jambatan Raja Hussein, satu-satunya laluan darat ke Gaza sejak penutupan pintu sempadan Rafah di Mesir pada 7 Mei 2024.

“JHCO memainkan peranan penting dalam menguruskan penghantaran bantuan dari pelbagai organisasi antarabangsa dan negara penyumbang,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Pada kunjungan ke pusat rawatan kanser KHCC, Timbalan Presiden UMNO itu disambut mesra oleh Pengerusi Pemegang Amanah, Puteri Ghida Talal; Ketua Eksekutif, Nisreen Qatamesh dan Pengarah Kutipan Sumbangan, Abeer Al-Maghrabi.

KHCC yang ditubuhkan pada tahun 1997 menyediakan rawatan kanser percuma dan penyelidikan bertaraf dunia yang kini sedang merawat 300 pesakit kanser rakyat Palestin.

“Pihak JHCO dan Pusat Kanser Raja Hussein (KHCC) sangat menghargai sumbangan ini sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin. KHCC juga berharap dapat menjalin kerjasama dengan Persatuan Kanser Negara untuk memperkukuh usaha rawatan dan penyelidikan kanser di masa hadapan.

“Kedua-dua pertemuan ini menekankan komitmen Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan kesihatan kepada rakyat Palestin serta mengukuhkan kerjasama dengan institusi-institusi terkemuka di Jordan.

“Semoga kerjasama yang terjalin ini terus membawa harapan dan bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Palestin di Gaza,” ujar beliau.

Lawatan kerja Mohamad ke Jordan untuk menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi “Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza” yang dianjurkan bersama oleh Raja Jordan, Raja Abdullah II; Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres yang akan berlansung hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.