Keutamaan Beri Rawatan Penagihan Dadah Akan Dibawa Ke Mesyuarat Jemaah Menteri – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan keutamaan untuk rawatan dan pemulihan kepada penyalahgunaan dadah bagi mendapatkan rawatan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Membincangkan Cadangan Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Terdapat beberapa perkara penting yang telah diperhalusi bersama dan dibincangkan khususnya berkenaan pindaan Seksyen 8 APD 1983 yang merujuk kepada rawatan dan pemulihan kepada penagih atau penyalah guna dadah atau bahan bagi mendapatkan rawatan secara sukarela.

“Mesyuarat bersetuju dengan cadangan pindaan serta syor-syor yang telah dikemukakan terhadap Seksyen 8 APD 1983 ini yang akhirnya dapat memberi keutamaan kepada mana-mana pihak yang ingin mendapatkan rawatan dan pemulihan.

“Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri sebelum dibentangkan ke Parlimen untuk dimuktamadkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau mesyuarat dilaksanakan susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 April 2024 yang telah bersetuju bagi satu Mesyuarat Jawatankuasa Khas diwujudkan melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan membincangkan cadangan pindaan APD 1983.

“Semoga usaha kedua-dua kementerian dalam menguruskan isu rawatan dan pemulihan dadah serta bahan dapat beroleh manfaat sebaiknya,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.