Noraini Santuni Ibu Bapa, Guru… Rasmikan PIBG SK Sri Medan

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad terus turun padang menyantuni rakyat melalui program-program berbentuk kemasyarakatan.

Terbaharu, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berbesar hati menghadiri Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sri Medan di Batu Pahat, sekaligus merasmikan program berkenaan.

Noraini menyifatkan PIBG sebagai medium untuk semua pihak termasuk ibu bapa dan pihak sekolah berbincang serta berganding bahu untuk kemajuan sesebuah sekolah.

“Pada masa yang sama peranan PIBG meningkatkan persefahaman antara ibu bapa dan guru ke arah merealisasikan kemenjadian murid.

“Tahniah diucapkan kepada Yang DiPetua PIBG, Rahman Mohamed dan Guru Besar, Cikgu Fadilah di atas penganjuran majlis yang meriah. Ramai ibu bapa yang hadir demi pembangunan pendidikan anak masing-masing,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu meluah keteruajaan apabila dapat menyaksikan persembahan pelajar sekolah di samping berkesempatan dibawa ke kelas anak-anak istimewa.

“Kehadiran saya turut diraikan oleh anak-anak SK Sri Medan dengan pelbagai persembahan termasuk silat, tarian dan nasyid. Tahniah buat semua. Saya juga berkesempatan melawat kelas anak-anak istimewa. Mereka sangat berbakat.

“Tahun lepas saya telah meluluskan permohonan sekolah untuk memasang mozek di bilik guru dan tahun ini Insyaa-Allah permohonan sekolah juga telah diluluskan.

“Semoga warga SK Sri Medan diberi kekuatan dan diberi kecekalan semangat dalam terus mendidik anak-anak kita,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.