Mesyuarat Tergempar D-8 Bukti Komitmen Jitu Malaysia Perjuang Isu Palestin

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) merupakan bukti kepada komitmen jitu Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin di pelbagai platform antarabangsa.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau telah menyampaikan kenyataan Malaysia di mesyuarat tersebut antaranya menyeru agar negara-negara yang menganggotai D-8 menyokong gencatan senjata kekal.

“Alhamdulillah saya telah menyampaikan kenyataan negara di Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) D-8, Organization For Economic Cooperation berkaitan situasi Gaza yang diadakan di Istanbul, Republik Turkiye merangkumi empat perkara utama.

“Pertama, menyeru agar negara-negara anggota D-8 menyokonng pelaksanaan gencatan senjata dan menghentikan sebarang hubungan ekonomi dengan Israel.

“Selain itu, meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin dan menubuhkan kerjasama pemulihan antara D-8 dan Palestin,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO turut memaklumkan bahawa mesyuarat tergempar ini diadakan atas jemputan Turkiye selaku tuan rumah Sekretariat D-8.

“Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Tergempar ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dan komitmen jitu Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin di pelbagai platform antarabangsa.

“Mesyuarat tergempar ini disertai oleh Menteri-Menteri Luar Negeri dan wakil daripada Negara-negara Anggota D-8 iaitu Bangladesh, Indonesia, Iran, Mesir, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.

“Ia diadakan atas jemputan Turkiye selaku tuan rumah Sekretariat D-8 bagi membincangkan usaha-usaha untuk menamatkan keganasan yang dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Gaza,” katanya.

Pada Ahad media melaporkan Malaysia dan negara-negara anggota Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) meluluskan deklarasi berkaitan situasi di Gaza.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata, Malaysia dan negara-negara anggota D-8 telah bersama-sama menyatakan solidariti dan sokongan jitu kepada perjuangan rakyat Palestin dalam mencari penyelesaian terhadap krisis yang berlaku di Gaza, seperti yang digariskan dalam deklarasi mesyuarat tergempar yang telah diluluskan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.