Mantapkan Gabungan Kuasa Dalam UMNO, Utamakan Survival Parti Depani PRN Sabah – Jeffery Nor

PUTATAN, 10 Jun – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata ahli-ahli UMNO perlu memantapkan gabungan kuasa dalam parti sendiri iaitu antara bahagian dengan gabungan sayap-sayapnya, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa dalaman parti perlu diperkukuh dengan menolak budaya cantas mencantas dan sabotaj di semua peringkat khususnya menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Budaya cantas mencantas dan sabotaj perlu dielakkan kerana perjuangan parti kali ini adalah untuk menghadapi PRN Sabah ke-17 iaitu perjuangan hidup dan mati UMNO di negeri ini.

“Kita tolak kepimpinan yang lebih pentingkan survival parti lain daripada survival parti kita sendiri. Kita berharap untuk PRN17 kemenangan survival UMNO Sabah itu diletak ditempat yang paling atas,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan menghargai keyakinan UMNO/Barisan Nasional (BN) pusat yang memberikan peluang kepada UMNO Sabah untuk membentuk satu pakatan yang terbaik bagi PRN akan datang.

“Tentunya keputusan terbaik adalah untuk kepentingan ahli akar umbi dan UMNO Sabah.”

Dalam hal ini beliau juga menyorot bagaimana UMNO Sabah berdepan situasi berbeza pada tahun 2018, 2019, 2020 dan 2022.

“Ada empat fasa yang membezakan perasaan dalam tahun-tahun ini apabila pada tahun 2018 orang-orang UMNO Putatan ada yang lari dan lompat ke parti lain atau ada berdiam diri, kemudian pada tahun 2019 ada lompatan besar-besaran melibatkan ahli UMNO ke parti lawan.

“Tahun 2020 yang menyembunyikan diri dan mendiamkan diri sudah mula menampakkan diri mereka dan pada 2022 yang menyembunyikan diri itu sudah mula kembali kepada tabiat lama iaitu seperti sebelum parti kalah dan berjuang untuk UMNO,” katanya.

Terdahulu Jeffery Nor yang juga Pengerusi FELCRA Balingian telah turun padang bagi meneruskan misi membantu rakyat.

“Alhamdulillah telah berjaya menempuh jalan yang jauh dari Putatan ke Kampung Tikadis Persiangan bagi menyampaikan sumbangan kepada 20 mangsa kebakaran rumah panjang baru-baru ini daripada Yayasan FELCRA,

“Terima kasih kepada Pengerusi FELCRA Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, juga kepada Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang merestukan perjalanan saya ke seluruh Sabah bagi membantu mangsa-mangsa kebakaran.

“Terima kasih juga kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Ser Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sentiasa memberikan ruang untuk membantu rakyat,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama beliau juga menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong usaha berterusan untuk membantu rakyat.

“Semoga dengan sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan termasuklah mangsa-mangsa kebakaran ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.