Kerjasama Bersama PH Demi Negara… Namun UMNO Terus Ditohmah ‘Ratib Songsang’ – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Tindakan sesetengah pihak yang melemparkan pelbagai tohmahan dan sehingga ke hari ini masih ‘meratib’ keputusan UMNO untuk bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan raya Umum (PRU) yang lalu bukan sahaja menimbulkan seribu satu persoalan malah memperlihatkan sikap hipokrit masing-masing.

Pelbagai gelaran yang dilontarkan menyerlahkan sikap mereka kerana bukan sahaja UMNO yang telah bekerjasama dengan Pakatan Harapan ataupun dengan Dap, malah semua parti yang merasakan mereka seolah-olah ‘suci’ telah pun mengadakan kerjasama sebelum ini.

Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, itulah sikap sebenar mereka dan jika diimbau sebelum ini, bukankah Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah bekerjasama dengan Dap, begitu juga dengan Pas serta Bersatu pada satu ketika.

“Apabila UMNO membuat keputusan selepas negara terumbang-ambing pasca PRU lalu setelah ketiadaan kerajaan, UMNO diasak bertubi-tubi sedangkan parti lain, termasuklah Dr Mahathir… siapa pernah terfikir Dr Mahathir boleh kerjasama dengan Lim Guan Eng? Siapa boleh terfikir bahawa Dr. Mahathir akan bekerjasama dengan Anwar Ibrahim? Tak pernah.

“Tapi kalau UMNO buat, ia bukan kerana kepentingan politik, tetapi lebih kepada memastikan negara ini aman, stabil dan lebih kepada untuk menjaga kestabilan politik negara. Bayangkan waktu kita menentukan kepada siapa kita nak menyokong kerajaan pada waktu itu dalam setiap mesyuarat, kita kena buat keputusan disebabkan pasaran saham merundum modal kapital… pasaran modal hancur.

“Dalam kegelutan itu pun UMNO terpaksa memikirkan pasaran negara. Bayangkan begitu hebat pemimpin UMNO… dalam kegelutan itu pun kita fikirkan tentang negara ini,” katanya kepada UMNO Online.

Berhubung penerimaan akar umbi terhadap keputusan yang diambil UMNO, Abdul Rahman percaya tugas utama dan amat besar hari ini adalah memberikan penerangan sejelas-jelasnya berhubung langkah berkenaan.

“Kerja kita sebagai orang politik ialah untuk menerangkan, menjelaskan… kita kena jelas dan jelaskan sampailah orang faham kenapa kita mengambil keputusan berkenaan. Mungkin buat masa ini baru setahun lebih, tak sampai pun dua tahun… maka penjelasan itu mungkin belum sampai.

“Kita ini bukan bekerjasama dengan Dap, tetapi kita bekerjasama dengan Pakatan Harapan… membentuk sebuah kerajaan yang mana sebelumnya empat hingga lima hari kita tidak ada kerajaan yang menyebabkan keadaan negara tidak stabil.

“UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk apa? Kita membentuk sebuah kerajaan yang mana empat hingga lima hari kita tidak ada kerajaan sebelumnya menyebabkan berbilion ringgit hilang daripada pasaran saham. Inilah langkah kita untuk kestabilan negara dan untuk manfaat rakyat seluruhnya,” tambah beliau lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.