Konvensyen Bermula Di Dua Negeri Sempena Sambutan Jubli Emas BN

KUALA LUMPUR, 9 Jun –  Konvensyen Barisan Nasional (BN) yang dirancang sebelum ini  sempena sambutan Jubli Emas parti berkenaan memulakan tirainya pada Sabtu.

Selain Kelantan, BN negeri Johor juga tidak ketinggalan apabila mengadakan konvensyen mereka selama sehari selain turut meraikan    sambutan Jubli Emas 50 Tahun BN yang bertemakan ‘Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa’

Pengerusi Wanita BN yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad turut berkongsi kemeriahan berkenaan menerusi laman Facebook beliau.

“Alhamdulillah telah berlangsung Konvensyen BN Negeri Johor 2024 yang dihadiri hampir 1,000  pemimpin-pemimpin BN dari seluruh Negeri Johor.

“Perasmian Penutup Konvensyen BN Johor  disempurnakan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional merangkap Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

“Majlis turut meraikan sambutan Jubli Emas 50 Tahun BN yang bertemakan ‘Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa’ yang disambut pada tarikh bersejarah 1 Jun setelah BN ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1974 menggantikan nama parti Perikatan,” katanya.

Beliau seterusnya turut berkongsi lima resolusi yang diluluska melalui konvensyen berkenaan.

“Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut membacakan lima resolusi yang diluluskan melalui konvensyen ini iaitu untuk mengukuhkan solidariti di kalangan komponen BN dan rakan BN, memupuk hubungan lebih erat dengan kerajaan perpaduan, memperkasa gerak kerja PRU16, mengangkat agenda pendidikan Bangsa Johor, dan menyuburkan ekonomi Johor.

“Turut bersama di dalam majlis ini adalah Pengerusi MCA Johor, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Pengerusi MIC Johor, Vidyananthan  Ramanathan, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha Agung PBRS, Richard Kastum, pemimpin sayap-sayap parti komponen BN  dan pemimpin-pemimpin Friends of BN yang lain,” ujarnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata sempena sambutan Jubli Emas BN, pelbagai program dan agenda akan diatur termasuk konvensyen di negeri dan acara kemuncak Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, bulan depan.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.