‘Pas Berterusan Manipulasi, Tunggang Agama Demi Kepentingan Politik’ – Jailani

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jailani Johari meluahkan kekesalan beliau dengan sikap pemimpin Pas yang berterusan menggunakan agama demi kepentingan politik.

Jelas beliau, ia dapat dilihat dengan kenyataan terbaharu daripada Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata ‘kemenangan Islam dalam pilihan raya akan menyebabkan dosa-dosa golongan terdahulu diampunkan’.

Menurut beliau, tidak pelik jika Tuan Ibrahim berkata begitu kerana mereka sedari dulu lagi seringkali menunggang agama demi mendapatkan sokongan rakyat.

“Mana-mana pihak sepatutnya tidak menggunakan agama untuk kepentingan politik. Hal ini adalah kerana agama, hukum dan fatwa adalah sebagai sempadan untuk semua dalam melontarkan pendapat.

“Saya lihat Pas amat suka mengaitkan sentimen dan isu-isu agama dengan perjuangan mereka sedangkan ini tidak sepatutnya berlaku.

“Perjuangan mereka sejak dahulu hanya untuk mendapatkan kuasa, menggunakan agama ‘kononnya’ berpolitik secara Islam tetapi tidak menggambarkan erti perjuangan yang sebenar.

“Kenyataan Tuan Ibrahim tidak ada bezanya dengan fatwa yang telah mereka keluarkan sebelum ini dengan memanipulasi kenyataan berkaitan Islam demi kepentingan politik,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau dalam pada itu turut sama berharap pemimpin Pas untuk menghentikan propaganda mereka demi menjaga keharmonian rakyat di negara ini.

Jailani juga turut sama bersimpati dengan pengundi Pas dan berharap agar mereka tidak mudah termakan dengan dakyah dibawa mereke termasuk sentimen tiket ke syurga jika mengundi Pas.

“Saya sendiri masih ralat dan bersimpati dengan pengundi yang masih terpengaruh dengan hukum tiket ke syurga jika mengundi Pas pada setiap kali berlakunya pilihan raya sedangkan secara realitinya nya tidak ada jaminan sedemikian.

“Saya mohon bagi pemimpin Pas supaya hentikan dengan bermain propaganda yang dapat menganggu keharmonian dan perpaduan rakyat secara amnya,” ujar beliau.

Terdahulu, Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata ‘dengan kemenangan Islam kita boleh betulkan dasar yang tak betul, kemungkaran yang dibenarkan zaman dulu, contohnya perjudian’ katanya seperti dilaporkan Harakahdaily pada 4 Jun lalu.

Bagaimanapun laporan Harakahdaily tersebut kemudiannya telah dipadamkan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.