Dasar TVET Negara 2030 Buat Semua – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata  program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)  memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Menurut beliau TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi aliran terpenting yang membuka peluang luas kepada generasi muda untuk mencapai masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing di peringkat global.

“Dasar TVET Negara 2030 memberi anjakan penting dalam membawa Malaysia ke arah negara maju dengan menekankan modal insan berkemahiran melalui program TVET yang responsif, fleksibel dan inklusif.

“Dasar ini juga akan menjadi rujukan utama dalam memandu institusi TVET menyediakan program berkualiti yang memenuhi kehendak industri,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah seterusnya yakin dasar TVET Negara 2030 akan memberi limpahan manfaat untuk semua pihak.

“Saya sangat optimis bahawa Dasar TVET Negara 2030 ini akan dapat merealisasikan agenda pemerkasaan TVET buat keseluruhan pemegang taruhnya.

“Malah, dengan dasar yang komprehensif dan sokongan padu daripada semua pihak berkepentingan, saya yakin TVET akan memainkan peranan penting dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.  Marilah kita bersama-sama berusaha untuk mencapai matlamat ini demi masa depan yang lebih gemilang untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Menerusi perkongsian yang sama Ahmad Zahid turut merakamkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Hari TVET Negara 2024 & meluncurkan Dasar TVET Negara 2030.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesudian beliau merasmikan Hari TVET Negara 2024 & meluncurkan Dasar TVET Negara 2030 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat.

“Kehadiran beliau serta YB Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri menunjukkan sokongan padu Kerajaan Madani dalam memperkukuhkan lagi peranan TVET dalam pembangunan negara,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.