UMNO Teruskan Pelbagai Pendekatan Dekati Pengundi Muda – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kepelbagaian demografi kalangan pengundi muda akan terus diberikan tumpuan oleh UMNO dalam usaha mendekati pelbagai kelompok pengundi terutama kalangan pengundi muda dan undi automatik 18 tahun bagi memastikan kelompok berkenaan terus bersama dengan parti berkenaan.

Ketua Sekretariat Undi Muda & 18 War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata tumpuan utama sudah pasti kepada ahli parti berkenaan dan seterusnya kepada kumpulan yang berada di luar sana dengan mengambil kira kehendak serta keperluan semasa dalam mendekati golongan tersebut.

Menurut beliau dengan pelbagai cabaran yang mendatang tentunya pemikiran dan juga langkah ke arah itu memerlukan satu tindakan yang tuntas dan inilah yang sedang diusahakan bagi memastikan UMNO terus mendapat kepercayaan mereka.

“Fokus undi 18 ini adalah satu inisiatif War Room UMNO Malaysia untuk kita fokus kepada spesifik demografi dalam kita berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. Jadi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan War Room UMNO Malaysia yang diketuai Datuk Seri Khaled Nordin untuk melihat apa demografi-demografi yang perlu kita dekati dalam masa kita berdepan pilihan raya yang akan datang.

“Jadi salah satu demografi yang penting dalam negara kita ini ialah undi muda dan juga undi 18 iaitu undi automatik mereka yang berumur 18 tahun. Jadi fokus ini kita bincang untuk melihat kepada idea-idea serta perlaksanaan terkini.

“Ada dua jenis demografi yang perlu kita sentuhi. Satu ialah memang keahlian UMNO yang sedia ada dan juga secara keseluruhannya rakyat Malaysia yang umur atau pun yang masih dikategori sebagai muda yang menjadi demografi penting untuk UMNO,” katanya kepada UMNO-Online.

Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seterusnya menambah selain penggunaan platform digital, kepelbagaian pendekatan lain akan turut digunakan termasuklah program-program tradisi akan diteruskan sebaik mungkin.

“Jadi hari ini kita buat keputusan selain menggunakan platform digital untuk mendekatkan diri kita dengan golongan ini, kita juga akan teruskan dengan program-program tradisi kita iaitu untuk mendekatkan diri dengan kumpulan-kumpulan anak-anak muda di kampung-kampung yang memerlukan pembelaan.

“Dan juga demografi yang satu lagi ialah pelajar-pelajar universiti supaya kita dapat mendekatkan diri kita dengan aspirasi mereka untuk mengetahui dengan lebih jelas. Jadi ada dua tiga jenis pendekatan termasuk pendekatan melalui digital dan teknologi digital untuk kita mendekatkan diri dengan mereka supaya usaha kita ini dapat dilihat oleh mereka sebagai satu usaha untuk mengenali apa masalah yang dihadapi mereka.

“Dan sememangnya kerajaan hari ini sedang berusaha ke arah itu, tetapi UMNO sebagai sebuah parti politik perlu ada satu usaha tersendiri yang fokus kepada mengikuti proses ini dengan cara yang tersendiri,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.