Malang Orang Kedah ‘BerMB’ Sanusi Sekadar Jadi Tukang Umum, Tapi Lepas Tangan – Jamil Khir
KUALA LUMPUR, 7 Jun – “Pentadbiran Kerajaan Pas Kedah diketuai Sanusi seumpama orang mengigau dalam tidur lalu menganggap segala mimpi dan mengigaunya sebagai benar dan betul.”
Demikian bidas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom susulan pengumuman oleh Menteri Besar (MB), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membabitkan pembangunan dan pelaburan di negeri itu yang disifatkan sebagai lepas tangan.
“Semudah pengumumannya sebagai berita hebat dan besar Kedah sehingga mengalahkan semua kerajaan negeri lain di sudut pembangunan dan pelaburan termasuklah segala projek baru yang mega sifatnya.
“Namun tiba-tiba hari ini dalam satu pengumuman media MB Nusi menyatakan semua yang dia umum adalah projek swasta yang sangat bergantung pada kemampuan syarikat tersebut. MB Nusi syarikat swasta yang disalahkan.
“Semuanya sekadar pengumuman tanpa perlaksanaan jauh lagi pulangan tetapi MB Nusi membuat pengumuman namun sudahnya lepas tangan. Malang Kedah berMBkan Nusi.
“Di mana kebertanggungjawaban kerajaan negeri? Di mana kakitangan awam pentadbiran, juru nilai projek, pasukan pengurusan risiko, panel penilai pelaburan, jua termasuk pasukan lembaga kerajaan negeri sebagai pihak berwajib bagi manfaat segala projek yang diumum,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerai berkata pengumuman Sanusi tersebut memberi anggapan seolah-olah Kerajaan Negeri Kedah tiada pasukan semak dan nilai untuk projek yang akan dilaksanakan.
Jamil dalam pada itu berkata sekiranya amalan tersebut dilakukan maka tidak pelik jika ada cadangan yang bersifat sampah dan tidak masuk akal akan diumumkan Sanusi sebagai ‘tukang umum’.
“Soalnya mampukah rakyat Kedah hidup dengan MB yang sekadar tukang umum tetapi lepas tangan atas apa yang MB umumkan bahkan menyalahkan pihak swasta.
“Soal air yang tiada bekalan, soal pelaburan pembangunan yang gagal sekaligus menutup peluang pekerjaan, soal stadium yang sekadar mimpi di siang hari, soal litar lumba di Sungai Petani dan Langkawi.
“Soal Kedah Rubber City, soal pembangunan mega di Langkawi, soal logi air Kedah, soal pelabuhan baru di Sanglang, soal pembangunan Pulau Bunting, soal nadir bumi Sik dan Baling,” ujar beliau. – UMNO Online