Uruguay Berhasrat Teruskan Kerjasama Dalam Pasaran Daging Halal, Produk Tenusu – TPM

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Kerajaan Uruguay melalui Institut Daging Nasional Uruguay (INAC) menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama dengan Malaysia dalam pasaran daging halal dan produk tenusu dengan memfokus kepada usaha mengeksport daging lembu ke negara lain khususnya bagi menembusi pasaran Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hasrat itu disampaikan semasa perjumpaan beliau dengan Menteri Penternakan, Pertanian dan Perikanan Uruguay Fernando Mattos semalam bagi membincangkan perkembangan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara dalam pasaran daging halal dunia.

“Sektor ternakan dari Uruguay mengeluarkan kira-kira 600,000 tan daging lembu setahun dengan 150,000 tan digunakan dalam pasaran domestik manakala 450,000 tan dieksport… Uruguay mengeksport 75 peratus daging lembunya ke luar negara kebanyakannya ke China manakala hanya 25 peratus dihasilkan untuk kegunaan domestik… produk ini dieksport ke lebih 100 negara menyumbang 25 peratus daripada eksport Uruguay.

“Justeru, saya melihat potensi besar untuk Malaysia meneroka pasaran daging dan produk tenusu Uruguay ini bagi memastikan sumber bekalan daging halal sentiasa stabil seterusnya memangkin agenda keterjaminan makanan negara,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pada masa sama, Malaysia juga dapat menjadi hab utama untuk aktiviti pemprosesan, penyimpanan, pengendalian dan pengangkutan sebelum menembusi pasaran daging halal di luar negara khususnya di peringkat ASEAN.

Ahmad Zahid berkata Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) telah memperinci beberapa pendekatan bagi mencapai hasrat itu.

“Pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan JAKIM sendiri telah mengadakan lawatan serta audit halal ke-21 loji sembelihan ruminan di Uruguay sejak April lepas dan sedang melalui fasa akhir sebelum pusat-pusat penyembelihan ini diberikan status halal secara rasmi.

“Malah Kerajaan Uruguay memberikan jaminan melalui perundangan agar pematuhan standard halal Malaysia akan dipatuhi oleh Pusat Islam Uruguay (UIC) yang menjadi badan pensijilan halal di negara berkenaan,” katanya.

Beliau juga berkata langkah itu dipercayai akan membuka pasaran lebih luas kepada Uruguay di negara ini dan percaya peluang bekerjasama dengan pembekal utama daging dunia seperti Uruguay akan dapat mempelbagaikan lagi sumber daging halal dalam negara dan mengelakkan kebergantungan kepada sesebuah negara.

Ahmad Zahid berkata Malaysia juga akan mempertimbang untuk menghantar rakyat negara ini yang dilatih oleh JAKIM dan HDC menjadi Penyelia Jaminan Proses Halal serta pakar sembelihan ke pusat-pusat sembelihan di luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

“Langkah ini dapat meningkatkan keyakinan terhadap produk sembelihan berstatus HALAL MALAYSIA tanpa was-was syarak,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.