Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani Mampu Lahir Graduan Keupayaan Tinggi – Zambry

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) sudah semestinya dapat membantu membentuk mahasiswa yang bukan sahaja bijak dalam akademik malah melahirkan graduan berkeupayaan tinggi dalam segala perkara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, modul tersebut telah diolah dengan menitikberatkan pelbagai aspek seiring dengan agenda dan matlamat gagasan Madani.

“Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) diolah dengan mengambil kira pelbagai aspek dan disesuaikan dengan agenda dan matlamat gagasan Madani.

“Kaedah pelaksanaan modul yang diperkenalkan, menggabungkan kaedah konvensional dan pendigitalan supaya menarik minat pelbagai pihak khususnya golongan muda.

“Tiga elemen utama diadun untuk menghasilkan modul Program Latihan Kenegaraan berteraskan kepada pembinaan negara bangsa Malaysia Madani. Modul yang dibangunkan adalah berbentuk kursus separuh hari, satu hari dan tiga hari dua malam,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, modul tersebut mampu membina kefahaman dan minat anak muda mengenai semangat perpaduan serta kecintaan kepada negara.

“Ketika hadir ke Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani oleh Perdana Menteri, saya melihat modul baru ini mampu menarik semula pemahaman dan minat golongan muda untuk membina kembali keyakinan dan semangat perpaduan serta semangat kecintaan kepada negara.

“Selain itu, modul ini boleh dipertimbangkan untuk diberi pendedahan untuk peringkat awal kanak-kanak sekolah mengikut silibus yang bersesuaian sehinggalah meningkat ke peringkat belia dan menjadi rakyat yang patriotik dan hidup dalam semangat keharmonian.

“Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pastinya modul seperti ini dapat membantu membentuk mahasiswa bukan sahaja bijak dalam akademik, malah melahirkan seorang graduan Malaysia yang berkeupayaan tinggi dalam segala perkara,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani yang diperkenal hari ini memberi peluang kepada golongan muda mengenali sejarah negara sekali gus menghargai jasa pemimpin dan pejuang terdahulu.

Beliau berkata, modul itu adalah berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan ia diperkemas mengikut peredaran masa khususnya dalam aspek pendigitalan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.