PRK Sungai Bakap: Misi UMNO Hanya Untuk Mengalahkan PN – Mustapha

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berpandangan bahawa sesiapa sahaja yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dari Kerajaan Perpaduan tidak menjadi masalah kerana misi utama UMNO hanyalah untuk mengalahkan Perikatan Nasional (PN).

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa keputusan UMNO/Barisan Nasional (BN) menyerahkan kerusi tersebut kepada Pakatan Harapan (PH) adalah berdasarkan kepada persefahaman Kerajaan Perpaduan.

“PH akan diwakili oleh PKR dalam PRK yang akan ditentukan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 6 Jun 2024 nanti.

“Keputusan menyerahkan kepada PH untuk bertanding adalah berdasarkan persefahaman di antara BN dan PH ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, DUN Sungai Bakap mempunyai seramai 38,409 pengundi berdaftar meliputi 59.4 peratus daripadanya Melayu, 22.5 peratus Cina dan India 17.4 peratus India.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, calon PN menang dengan undi 15,433 mengalahkan calon PH yang mendapat undi sebanyak 13,870. Majoriti yang agak selesa untuk calon PN iaitu sebanyak 2,563 dan jumlah keluar mengundi ialah 29,530 orang.

“Ahli UMNO dalam DUN Sungai Bakap adalah seramai 5,000 orang. Oleh kerana majoriti pengundinya adalah orang Melayu, maka Pas lebih berpengaruh berbanding PPBM. Sebab itu PPBM akan menyerahkan kerusi tersebut kepada Pas. Lagipun bekas penyandangnya adalah dari Pas.

“Siapa yang bertanding tidak menjadi masalah kepada UMNO. Misi UMNO hanya satu iaitu untuk mengalahkan PN,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, SPR bakal mengadakan satu mesyuarat khas pada 6 Jun ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK kerusi DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini berkata ia berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas.

Beliau berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN Sungai Bakap. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.