Mohd Shahar Terus Turun Padang Santuni Rakyat, Fokus Pendidikan Anak Muda

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah meneruskan agenda membantu rakyat dengan menyantuni penduduk di kawasan melalui program-program berbentuk kemasyarakatan, ini termasuk golongan muda.

Beliau pada semalam berbesar hati ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan dan SMK Bukit Sagu bagi menyantuni para pelajar dan guru-guru bersempena dengan Program Mentor Hot Seats.

Program ini disusun secara komprehensif bagi tujuan menyampaikan informasi terkini, sahih dan tepat berkaitan hala tuju pendidikan selepas sekolah, yang melibatkan seluruh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di sekitar Parlimen Paya Besar.

“Mahasiswa di IPTA ini akan menjadi mentor kepada adik-adik di sekolah menengah untuk menjadi pembimbing dalam membimbing hala tuju mereka bila tamat sekolah nanti,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut sama merakamkan penghargaan kepada para pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada minggu lalu.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah berusaha dengan gigih dan mencapai keputusan yang cemerlang.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada kerja keras dan kesungguhan pelajar, kepada yang mungkin tidak mencapai keputusan yang diharapkan, jangan putus asa.

“Ini adalah permulaan, bukan pengakhiran. Kegagalan adalah satu peluang untuk belajar dan bangkit lebih kuat.

“Kepada ibu bapa, saya ucapkan ribuan terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak dan guru-guru. Kejayaan anak-anak kita ini adalah kejayaan bersama, hasil daripada kasih sayang dan dorongan yang telah anda berikan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.