JPU: Pencerahan Isu Semasa Secara Dua Hala Kaedah Paling Berkesan, Mujarab – Ahmad Maslan

KOTA KINABALU, 5 Jun – Siri Jelajah Penerangan UMNO (JPU) yang diadakan oleh Penerangan UMNO Malaysia sekarang ini merupakan satu langkah yang sangat baik supaya rakyat mendapat input yang tepat, ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ujar Timbalan Menteri Kerja Raya itu, penjelasan secara dua hala mengenai isu-isu terkini dan semasa mengenai hal ehwal politik dan negara kepada akar umbi secara bersemuka wajar diteruskan.


“Saya harap ia diteruskan seberapa banyak yang boleh supaya kita boleh membuat penjelasan mengenai isu-isu semasa di samping kita membuat persiapan-persiapan untuk langkah seterusnya.

“Penjelasan, penerangan untuk kita memberikan persepsi yang betul untuk isu-isu semasa adalah penting secara bersemuka. Itu adalah satu kaedah yang paling mujarab dan berkesan selain kita menggunakan media sosial.

“Interaksi dengan penceramah yang kita pilih juga penting dan UMNO inginkan pimpinannya turun padang dan mereka (akar umbi) menanti kehadiran pimpinan UMNO dalam program-program di lapangan. Saya kira ia adalah satu langkah yang sangat baik,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui pada hujung minggu lalu di sini.

Pada Sabtu lalu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor turut memberikan ceramah dalam JPU Bahagian Putatan yang diadakan di UMNO Negeri Sabah, di sini.

Berucap sama Ahli MKT yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia Datuk Lokman Noor Adam.

Hadir sama Setiausaha UMNO Negeri Sabah Datuk Jafry Ariffin; Ketua Penerangan UMNO negeri Datuk Suhaimi Nasir dan Ketua UMNO Bahagian Putatan merangkap Pengarah Jabatan Pilihan Raya negeri Jeffery Nor Mohamed.

Sementera itu, dalam ucapannya Ahmad berkata setiap Bahagian UMNO perlu mengamalkan formula ABCDE dalam menghadapi pilihan raya khususnya bagi pimpinan UMNO di Negeri Sabah yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Pertama A iaitu Aktiviti, kita kena banyak mengadakan aktiviti di semua bahagian. Kedua B, Bersepadu antara Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan Veteran UMNO. Ketiga, Calon (C) iaitu perlu melihat calon terbaik dan yang sesuai dengan tempat bertanding supaya sentiasa dilihat bersama rakyat.

“Keempat, Data iaitu D, parti perlu ada data penyokong, pengundi. Terakhir ialah E iaitu Emosi iaitu perlu menjaga emosi rakyat supaya mereka suka kepada parti,” katanya.

Jelasnya, lima formula itu juga penting supaya ahli dan jentera sentiasa berada di dalam keadaan siap siaga yang tinggi terutama bagi menghadapi musim pilihan raya. – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.