Johor Rebut Peluang Program Halal On Track, Wadah Terbaik Perkasa Pensijilan Halal Pelbagai Industri
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Program Halal On Track (HOT) merupakan wadah terbaik dalam memperkasa pensijilan halal untuk memenuhi keperluan industri, ujar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu, ia juga memberi pendedahan kepada para usahawan untuk mempromosikan produk-produk halal mereka di peringkat global, khususnya produk negeri.
“Selain itu, saya juga mohon agar pelbagai usaha terus dipergiat bagi merancakkan lagi kawasan Iskandar Halal Park (IHP), sebagai contoh mempertimbangkan pengecualian cukai kepada para pelabur yang melabur di IHP, dan meningkatkan infrastruktur jalan di kawasan IHP ini.
“Semua ini penting dalam merancakkan industri halal di Negeri Johor, yang tidak hanya tertumpu kepada industri makanan dan minuman (F&B) sahaja, tetapi industri lain seperti farmaseutikal, kosmetik, kewangan, penternakan, pelancongan, dan banyak lagi,” katanya dalam satu catatan di laman sosialnya.
Dalam perkongsiannya itu, Onn Hafiz bersyukur dapat hadir mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Program Halal On Track (HOT)@Johor Darul Ta’zim pada Selasa yang menjadi negeri pertama tuan rumah penganjuran bagi tahun ini.
Tambahnya, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata pada tahun 2023 Malaysia telah berjaya mengeksport produk halal bernilai hampir RM60 bilion.
“Malah, kira-kira USD3 trilion diperlukan bagi memenuhi permintaan pasaran halal global, dan dijangka meningkat sehingga USD5 trilion menjelang tahun 2030.
“Negeri Johor perlu merebut peluang ini dan sebab itulah Program HOT dilaksanakan. Sehingga Mei 2024, daripada 1,126 permohonan pensijilan halal di Negeri Johor, sebanyak 98.7% permohonan telah diluluskan. Semuanya berkat pelaksanaan program HOT ini,” katanya.
Sehubungan itu, Onn Hafiz berharap agar semoga segala perancangan akan terus dipergiat bagi memperkasa industri halal di Johor.
“…selari dengan usaha pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kelak dan Tahun Melawat Johor 2026. Insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE