UMNO Lahad Datu Sambut Baik Tekad Noktahkan Kemiskinan Tegar Sabah, Cadang Dapatkan Statistik Sebenar

LAHAD DATU, 4 Jun – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tekad kerajaan untuk noktahkan kemiskinan tegar di Sabah sebelum akhir Julai tahun ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar diusahakan untuk statistik baharu dilaksana di setiap Parlimen di Sabah agar tidak ada yang tertinggal dalam usaha untuk membanteras kemiskinan di negeri terbabit.

“YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar kemiskinan di Sabah telah menurun dari 20,000 kepada 9,000 orang. Tetapi saya ingin nyatakan fakta sebenar… UMNO Bahagian P.188 Lahad Datu mempunyai keahlian sebanyak 50,777 orang, 20 peratus daripadanya adalah miskin tegar, dan ramai tidak mempunyai pekerjaan, ini belum termasuk bahagian-bahagian lain di negeri Sabah.

“Kerisauan kami sebagai rakyat Lahad Datu, nanti ramai yang ketinggalan dalam usaha Kerajaan Perpaduan membanteras miskin tegar jika tidak mendapat data statistik sebenar,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar Sharif Musa, kebimbangan tersebut adalah berasas memandangan banyak aduan yang diterima di pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu memaklumkan gagal mendaftar secara dalam talian termasuk menerusi program e-Kasih.

“Jika boleh, mintalah statistik terbaharu dari setiap bahagian-bahagian di Sabah untuk mendapat statistik data miskin tegar yang sebenar, agar tiada rakyat yang ketinggalan dalam arus membenteras kemiskinan tegar.

“Saya yakin bahawa setiap bahagian mempunyai data kerana UMNO ada organisasi yang berstruktur, bukan hanya untuk berpolitik sahaja tetapi fokus kepada pembelaan masyarakat dan kebajikan rakyat turut menjadi keutamaan.

“Insya-Allah, dengan sukarela kami boleh menyemak status rakyat dan memberi data statistik miskin tegar yang sebenar mengikut Parlimen masing-masing.”

Jelasnya, UMNO Bahagian Lahad Datu amat mengambil berat soal kebajikan dan kesusahan rakyat dengan setiap ruang dan peluang perlu dimanfaatkan sebaiknya.

“Ramai rakyat yang datang mengadu ke pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu, mereka ingin mendaftar sebagai e-kasih, tetapi tidak dapat didaftarkan.

“Dengan fokus dari Kerajaan Perpaduan dan jaminan dari perdana menteri sendiri maka inilah peluang kami untuk mendaftarkan mereka yang berstatus miskin tegar dan memberi data statistik miskin tegar yang sebenar agar mereka mendapat bantuan dari pihak kerajaan secara langsung,” katanya lagi.

Dilaporkan, baru-baru ini Anwar memaklumkan dalam ucapan di Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Penampang bahawa Sabah menjadi keutamaannya memandangkan masalah kemiskinan di negeri ini lebih serius dari di Pulau Pinang atau di Selangor.

Katanya, miskin tegar ini maksudnya uniform sekolah tidak mampu dibeli, makan minum atau susu bayi mungkin ada masalah maka sebab itu menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk menoktahkan kemiskinan tegar. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.