UMNO Tidak Pernah Lari Dari Landasan, Tiada Parti Lain Mampu Ganti – Exco Pemuda

KUALA LUMPUR, 2 Jun – “Kita sering dengar yang UMNO adalah parti keramat orang Melayu. Keramat dalam pemahaman umum adalah sesuatu yang mulia dan memiliki hikmat. Keramat UMNO datang dari matlamat asal kewujudannya,” kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan.

Menurut beliau, matlamat asal kewujudan UMNO adalah dari kesedaran orang Melayu pada waktu itu kepada nasib anak bangsanya di kemudian hari.

“Hingga hari ini UMNO tidak pernah lari dari matlamat asalnya. Hingga hari ini UMNO tidak pernah berhenti memelihara kepentingan Melayu dan Islam.

“UMNO telah membuktikan dalam setiap kerjasama membentuk kerajaan. UMNO sentiasa menjadi pengimbang kuasa agar kepentingan Melayu dan Islam sentiasa terpelihara.

“Malah tiada siapa mampu menafikan kejayaan UMNO mentadbir serta membangunkan negara. UMNO tiada gantinya dan tidak mungkin mampu di ganti. UMNO tetap UMNO dari dulu, kini dan selamanya,” katanya kepada UMNO Online.

Shah Zanuriman yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Selangor bersetuju pendapat Ketua Pemuda UMNO Malaysia Dr Muhamad Akmal Saleh berkaitan isu yang sama.

“Saya bersetuju dengan pandangan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mana-mana parti kononnya mahu menggantikan UMNO perlu ‘ukur baju di badan sendiri’.

“Saya juga bersetuju dengan pandangan Dr Akmal yang kekuatan UMNO sebenarnya datang dari akar umbi yang setia dan kepimpinan yang sangat berkaliber,” jelasnya.

Seterusnya kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang itu, kesetiaan ahli UMNO bukan kepada individu tetapi kepada institusi serta roh perjuangan parti.

“Selagi roh perjuangan untuk memastikan ‘survival’ bangsa dan kedaulatan Islam itu dibawa oleh ahli UMNO. Insya-Allah UMNO akan terus menjadi parti keramat orang Melayu yang tiada galang gantinya,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.