Solidariti Dan Kesetiaan Ahli Tunjang Kekuatan Parti – UMNO Tampin

TAMPIN, 2 JUN – Kekuatan UMNO terletak pada solidariti dan kesetiaan ahli pelbagai peringkat khususnya akar umbi untuk terus bersama memperjuangkan matlamat parti walaupun wujud pelbagai cabaran dan gelora melanda parti khususnya pasca Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, kata Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.

Beliau berkata, UMNO pasca PRU sebelum ini pernah dicaci, difitnah dan sebagainya lagi tetapi parti ini tetap relevan dan sehingga kini masih kekal dengan prinsip perjuangan dan membela rakyat.

“Kalau dulu UMNO dituduh akan mati, akan ditalkinkan dan dimasuk ke longkang tapi akhirnya pada saat ini masih kekal dan relevan kepada masyarakat terutamanya kepada orang Melayu dan Bumiputera.

“Saya rasa bukan mudah, Alhamdulillah UMNO masih lagi diterima oleh masyarakat Melayu dan rakyat negara ini. Saya tahu, gelombang-gelombang sebelum dan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 15 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 tempoh hari masih belum reda tetapi di Parlimen Tampin keadaan gelombang tersebut sudah mula reda dan penerimaan masyarakat setempat terhadap Kerajaan Perpaduan hari ini, Alhamdulillah makin hari makin baik,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau seterusnya menambah UMNO bahagian Tampin akan berusaha sebaik mungkin dalam usaha memastikan parti terus mendapat kepercayaan daripada masyarakat setempat dengan pelbagai pendekatan menerusi kerajaan yang ada hari ini.

“Insya Allah…UMNO Bahagian Tampin  akan bekerja lebih kuat untuk mendekati rakyat, menyebarkan kepada masyarakat bahawa parti ini tetap memperjuangkan apa yang diperjuangan sebelum ini. Sama sekali tidak lari daripada landasan perjuagan,” katanya.– UMNO Online

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.