Jubli Emas: Pemaparan ‘Segar’ Sangat Penting, Yakinkan Rakyat Bahawa BN Parti Teras Kestabilan – Zambry

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Pemaparan imej baharu lebih segar kepada rakyat adalah sangat penting untuk memberi keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti teras yang meneruskan kestabilan, kata Setiausaha BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, naratif baharu BN perlu dirangka dan diperhalusi sebaiknya untuk memperbetulkan segala persepsi.

“Ini yang disebutkan pengaruh ‘reaching out the masses’ ataupun tumpuan daripada ahli parti kepada rakyat. Antara perkara yang perlu kita lakukan ialah pertama, bagaimana kita nak membina naratif BN itu kepada rakyat dan ini sangat penting. Dalam konteks ini, kita perlu membetulkan persepsi lama kepada yang baharu

“Kedua, bagaimana kita nak sampaikan bahasa politik baharu kepada rakyat terutamanya generasi muda. Ada yang dikatakan sesetengah tempat itu sampai 40 peratus daripadanya adalah pengundi muda. Kalau kita bawa sampai ke umur 45 tahun ke bawah, kita ada lebih kurang 60 peratus. Jadi, ini merupakan ‘target group’ yang kita perlu kemukakan.

“Seterusnya, dari segi pemaparan kesegaran BN yang baharu kepada rakyat. Ini sangat penting sebab itu kita perlu olah dengan baik supaya BN itu dapat dilihat di semua peringkat rakyat dan mereka yakin bahawa BN ini merupakan parti teras yang meneruskan kesinambungan kestabilan, keamanan, kemajuan… Itulah BN,” katanya.

Beliau berkata demikian di sebuah sesi wawancara secara langsung di Facebook.

Menurutnya, berkemungkinan besar rakyat mampu untuk menerima semula BN sekiranya acuan politik sederhana dikembalikan semula.

“Kesederhanaannya, the political moderation yang diinginkan oleh rakyat jelata. Saya yakin bahawa kalau kita kembalikan semula dengan acuan politik kesederhanaan, rakyat akan menerima walaupun sekarang ini kita berhadapan dengan gelombang politik yang disebut sebagai politik ekstremisme.

“Tetapi kalau kita dapat membina balik model ini, diberikan kepada rakyat…. ini akan mengambil sedikit masa kerana proses untuk meyakinkan bukan boleh dilakukan dalam tempoh jangka masa pendek. Mulai sekarang, kita kena ada komitmen bersungguh-sungguh, yakin bahawa ini adalah model politik yang terbaik untuk rakyat jelata.

“Sebagai contoh dalam konteks kerajaan pada hari ini pun kita melihat bahawa inilah realiti Malaysia kita yang hendak kita bawa… yang nak kita kita laksanakan agenda-agenda penting kepada rakyat supaya hidup dalam keadaan yang aman dan kita dapat mentadbir negara dengan lebih baik lagi,” katanya lagi.

Untuk rekod, BN telah menyambut sambutan ulang tahun ke-50 pada 1 Jun sejak ia ditubuhkan pada tahun 1946.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.