Ulang Tahun BN ke-50: Parti Perlu Berevolusi, Sesuaikan Ikut Peredaran Zaman

SEREMBAN, 1 Jun – Barisan Nasional (BN) perlu melaksanakan evolusi dalam parti mengikut keadaan semasa agar lebih mudah diterima rakyat, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Menteri Luar Negeri turut mengucapkan selamat ulang tahun BN ke-50 yang disambut pada 1 Jun.

“Ucapan saya selaku generasi kedua BN, selamat menyambut ulang tahun… BN satu kerjasama parti-parti dalam negara ini. Pada peringkat kemuncaknya terdapat 14 parti yang menganggotai BN iaitu pada 1 Jun 1974.

“Pemimpin-pemimpin kita berjiwa besar untuk menyelamatkan keadaan kerana kita semua belajar bahawa peristiwa hitam 13 Mei iaitu rusuhan kaum berlaku dan ia mencatatkan sejarah hitam dalam negara.

“Keadaan kucar-kacir pada ketika itu dan diumumkan Kerajaan MAGERAN. Inilah punca mengapa dan bagaimana terbentuknya BN sebuah pakatan baharu menggantikan pakatan dalam kerajaan yang ditubuhkan atas nama Perikatan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana BN masih lagi bertapak dalam arena politik tanah air meskipun telah menjangkau usia 50 tahun.

“Perikatan sebelum ini merupakan parti yang mengurus negara iaitu hasil pakatan banyak parti. Tetapi Perikatan telah sampai ke tahap yang perlu satu evolusi dan kita membawa lebih banyak lagi terutamanya pada ketika itu dua parti yang amat keras iaitu Gerakan dan Pas masuk semata-mata untuk kita pastikan rakyat dan negara diutamakan.

“Alhamdulilah dah 50 tahun umur BN, masih ada lagi. Banyak juga orang kata BN ini telah sampai tarikh luputnya tetapi kita mesti berusaha supaya semangatnya hidup.

“Nama kita boleh ubah suai tetapi semangat kesepakatan itu penting. Alhamdulilah setakat hari ini kita ada lagi rakan-rakan parti seperti MCA dan MIC iaitu parti tunggal yang menyertai Perikatan sejak merdeka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menekankan bahawa BN perlu berevolusi dari segi gerak kerja, pemikiran dan juga cara untuk mendekati rakyat.

“Tidak ada mana-mana Institusi ataupun apa jua yang kalau tidak mempunyai upaya untuk berevolusi, maka akan menjadi seperti dinasour. Jadi, keperluan untuk berevolusi itu penting bagi menyesuaikan diri mengikut situasi dan keadaan semasa.

“Perubahan teknologi canggih begitu deras, pemikiran manusia pun begitu canggih dan teknologi maklumat meledak. Jadi BN juga perlu berevolusi dari segi gerak kerja, pemikiran dan cara untuk memenangi hati rakyat.

“Bagaimana untuk kita terus menjadi sebagai parti unggul negara yang pada satu ketika pernah mentadbir negara selama 62 tahun,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.