Ulang Tahun BN ke-50: Membawa Dacing Kestabilan Politik, Pengupayaan Tatakelola Kerajaan – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Barisan Nasional membawa dacing yang melambangkan kestabilan politik dan menunjukkan keupayaan untuk mengelola kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perjuangan Barisan Nasional adalah bertujuan untuk memberi keseimbangan kepada kehidupan rakyat.

“Dacing yang tersemat sebagai logo Barisan Nasional sejak 50 tahun memiliki makna tersirat yang menggambarkan hala tuju dan peranan utama parti ini.

“Ia menunjukkan perjuangan Barisan Nasional bertujuan memberi keseimbangan kepada kehidupan rakyat dalam negara kita.

“Sejak tahun 1974, Barisan Nasional tidak pernah lari dari hala tuju dan peranannya, sama ada ketika menjadi kerajaan, ketika menjadi pembangkang, mahupun ketika berperanan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional Jelebu berkata, Barisan Nasional telah terbukti menjadi penyumbang kepada keseimbangan dan berupaya untuk mengelola kerajaan sebaiknya.

“Barisan Nasional menjadi sebuah parti yang mampu memberi keseimbangan untuk mencipta kestabilan politik di tanah air kita.

“Barisan Nasional juga telah terbukti menyumbang kepada keseimbangan pengupayaan tatakelola Kerajaan sejak dahulu, sehinggalah kerajaan terkini (Kerajaan Perpaduan) di peringkat pusat dan negeri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkeyakinan bahawa Barisan Nasional akan terus melayari bahtera perjuangan dan menakhodai negara.

“Asasnya adalah keseimbangan. Barisan Nasional membawa perjuangan keseimbangan dalam hidup kita sejak dahulu sehingga sekarang.

“Bagaimana pula di masa hadapan? Untuk memastikan kehidupan rakyat terus harmoni dan pembangunan di Malaysia lancar membangun, pastinya Barisan Nasional terus kekal melayari bahtera perjuangan dan menakhoda negara bangsa!

“Selamat menyambut Jubli Emas Barisan Nasional,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.