Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian… Medan Membugar ‘Benih’ Pengukuhan Direncana – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Persidangan tahunan bahagian dan sayap bahagian-bahagian UMNO adalah medan untuk membugar kembali ‘benih’ pengukuhan parti yang direncanakan setahun lalu, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi perutusan yang dikeluarkan, beliau mendoakan agar segala urusan untuk melaksanakan tanggungjawab yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO dapat dipermudahkan.

“Segala puji hanya milik Allah SWT. Tuhan seluruh alam. Selawat dan salam kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat, para tabiin dan ulama, serta seluruh ahli UMNO yang saya kasihi.

“Mudah-mudahan kita akan dilimpahi inayah-NYA di dunia dan akhirat. Semoga dipermudahkan urusan kita melaksanakan tanggungjawab di dalam Perlembagaan UMNO untuk menekuni Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian bagi Tahun 2024 ini.

“Pada tahun lalu, persidangan diadakan serentak dengan pemilihan kepimpinan baharu di semua 22,000 cawangan yang disusuli 191 Bahagian. Persidangan tahunan kali ini adalah medan untuk penghulu-penghulu UMNO-UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pemuda UMNO Bahagian dan Puteri UMNO Bahagian membugarkan kembali ‘benih’ pengukuhan UMNO yang direncanakan setahun lalu, agar lebih subur dan menjadi pohon rendang yang berpacak memayungi segenap hati rakyat,” katanya.

Menurutnya, agenda pemerkasaan dan pembaharuan parti mesti diperhebatkan serta UMNO sepatutnya menjadi jurucakap bangsa.

“Memasuki tahun kedua kita beradaptasi dengan dinamika siasah baharu yang saya sifatkan sebagai ‘jihad politik’ demi kelangsungan UMNO. Agenda memperkasa dan pembaharuan UMNO mesti diperhebatkan.

“UMNO mesti menjadi jurucakap bangsa dan pemudahcara
rakyat. UMNO bukan sahaja mesti mendengar luahan rakyat, tetapi menyelami hati nurani serta kepayahan rakyat bawahan. Kalau bukan UMNO yang memartabatkan maruah serta mengangkat tinggi kedudukan orang-orang Melayu, siapa lagi?

“Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian inilah tempat pemugaran idea untuk merencana gerak kerja mendekati rakyat. Bermula di meja mesyuarat UMNO Cawangan yang melibatkan ketiga-tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan terus ke Mesyuarat Bahagian, saya mewakili seluruh kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi UMNO memberi jaminan akan mendengar dan meneliti segala cadangan serta idea yang dikemukakan, asalkan membawa kebaikan untuk parti UMNO yang dikasihi ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa UMNO mesti memandang ke hadapan dan ini adalah masa terbaik untuk menunjukkan rasa kecintaan terhadap parti.

“UMNO mesti memandang kehadapan. Inilah masanya untuk menunjukkan rasa kecintaan
terhadap parti keramat ini. UMNO adalah parti yang banyak berjasa, jangan kita malu untuk pemerkan kebanggaan ini, sayangilah UMNO dengan sepenuh jiwa raga. Dengan cara ini sajalah kita akan terus ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ kepada anak watan.

“Selamat bersidang. Semoga kesatuan, kesepaduan serta kesaksamaan kita menjulang wadah perjuangan UMNO ini dibalas dengan l kebaikan dan beroleh keberkatan di sisi Allah
SWT,” katanya lagi.

Untuk rekod, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan pada 21 Jun sehingga 29 Julai 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.