Kembalikan Kegemilangan BN – Ahmad Zahid
BEIJING 1 Jun – Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta kekal bekerjasama untuk mengembalikan kegemilangan gabungan digagaskan bekas Presiden UMNO, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, sejak lima dekad lalu.
Bercakap pada sidang media sempena Ulang Tahun Ke-50 BN, Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut menyeru semua parti komponen bergerak ke hadapan bagi memastikan kelangsungan serta mengekalkan kerelevanan gabungan itu.
“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-50 kepada BN dan kita perlu terus berjalan ke hadapan, tanpa perlu menoleh ke belakang.
“Marilah kita bersama mengembalikan kegemilangan BN dalam arena politik Malaysia,” katanya di sini, hari ini.
Pada Februari lalu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataan memaklumkan Dewan Tertinggi BN bersetuju untuk membentuk jawatankuasa khas bagi menyelaraskan semua program sempena ulang tahun ke-50 BN yang akan disambut pada Jun ini.
BN dibentuk oleh Abdul Razak pada 1 Jun 1974 ketika menjadi Perdana Menteri serta Presiden UMNO pada tahun sama.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata BN tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau biarpun tiada pihak boleh menafikan jasa BN dalam mentadbir dan membangunkan negara, sebelum ini.
Katanya, BN tidak boleh terus selesa dengan parti komponen yang hanya mewakili bangsa tertentu, sebaliknya perlu mendepani perubahan landskap politik dan memahami realiti serta keperluan terhadap politik bersifat inklusif dalam kerangka lebih luas.
Beliau juga berharap semangat yang ada Abdul Razak pada 1974 diterjemahkan semula untuk menghadapi dekad akan datang yang memerlukan kepada suntikan semangat dan wajah baharu.
“Saya mengucapkan selamat ulang tahun ke-50 BN. Kebetulan saya berada di Beijing untuk menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China dengan kedua-dua idea berkenaan digagaskan Abdul Razak, pada 1974.
“Allahyarham ketika itu mempunyai visi jangka panjang biarpun Malaysia dan China adalah negara miskin, tetapi siapa sangka selepas 50 tahun kita bekerjasama rapat dengan kuasa besar dunia yang kini bersaing merebut tempat pertama atau kedua dengan kuasa besar lain.
“Seperti hubungan diplomatik Malaysia-China, BN juga digagaskan Abdul Razak bagi menghadapi perubahan landskap politik susulan kemunculan pelbagai parti politik dengan ideologi berbeza, ketika itu.
“Beliau menggagaskan BN dengan hasrat memastikan kestabilan sebagai asas penting bagi memajukan negara. Ketika ini pula kita berdepan realiti politik baharu yang suasananya memerlukan BN bekerja dengan wajah, nafas dan pendekatan baharu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua kepemimpinan dan akar umbi BN adalah pihak yang sewajarnya memainkan peranan bagi mengekalkan kerelevanan gabungan berkenaan berpandukan suasana semasa.
Katanya, usaha itu nyata memerlukan kerjasama berterusan dan toleransi semua parti komponen, sekali gus menjadi asas kepada kekuatan BN.
“Saya tak rasa MCA dan MIC akan meninggalkan BN begitu sahaja kerana mereka memahami perubahan dan landskap politik yang hakikatnya memerlukan kita sentiasa meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan.
“Saya berpandangan MIC dan MCA juga memahami kita berada dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang bukan sekadar empat parti bernaung atas jenama BN, sebaliknya dianggotai 19 parti politik, mewakili pelbagai kaum, agama dan wilayah.
“Ini cerminan kepada realiti BN ketika peringkat awal penubuhannya. Justeru, masing-masing tidak boleh terlalu ego dan saling mengugut kerana realitinya kita perlu berlapang dada dan tiada pihak yang perlu terasa dipinggirkan,” katanya. – BH