Suara Akar Umbi UMNO Demi Kelangsungan Parti – Hilmi Elias

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berpandangan segala pendapat dan pandangan yang disuarakan dalam mesyuarat cawangan pelbagai peringkat parti termasuklah Pemuda UMNO seluruh negara yang akan berakhir Ahad ini adalah demi kelangsungan parti berkenaan.

Bagi beliau pandangan serta lontaran idea yang disuarakan oleh akar umbi perlu diberi perhatian parti malah perkara-perkara yang dibangkitkan itu tidak boleh diabaikan sama sekali dan seharusnya diperhalusi sebaik mungkin.

“Suara-suara akar umbi ini harus diangkat kepada pihak atasan semua pandangan ini. Sebagai sebuah parti yang terbesar di negara ini, semestinya ada pelbagai perbezaan pandangan. Disinilah kematangan parti UMNO apabila perbezaan pandangan ini diraikan secara demokrasi. Tidak ada betul atau salah dalam setiap perbezaan pandangan kerana akhirnya semuanya demi kebaikan masa depan parti.

“Benar… UMNO tidak pernah berada dalam situasi seperti sekarang tetapi UMNO juga harus memahami rentak dan budaya politik semasa. Parti harus cepat adaptasi perubahan dalam politik. Jangan terus dibuai dengan cara lama.

“Cara lama jika hasilnya tetap sama, itu bukan lagi strategi yang baik namanya. Terima hakikat zaman sekarang semuanya pantas. Parti juga harus pantas dalam mendepani situasi semasa citarasa rakyat,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Hilmi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata UMNO harus bangkit dan dilihat sebagai parti yang akhirnya rakyat sedar inilah parti terbaik daripada semua parti yang ada di Malaysia.

“Benar kita (UMNO) tidak sempurna, kerana tiada yang sempurna di dunia ini tapi harus diingatkan, parti ini adalah yang mempunyai rekod terbaik dalam memimpin negara ini walaupun berbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan. Apa sekalipun parti mesti diperkuatkan dan bukannya dipisah-pisahkan,” jelasnya.

Untuk rekod, persidangan Cawangan UMNO telah bermula pada 22 April hingga 2 Jun di seluruh negara yang melibatkan lebih 20,000 Cawangan.

Manakala mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan bermula 21 Jun 2024 sehingga 29 Julai 2024.

Seterusnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan diadakan pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.