Program Latihan Relevan Dengan Industri Pastikan Peluang Pekerjaan Generasi Masa Depan

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beriltizam untuk terus berusaha menyediakan program-program latihan yang relevan dengan industri bagi memastikan peluang pekerjaan yang lebih baik bagi generasi masa depan.

Dalam usaha ini, beliau yang juga Presiden UMNO berkata penubuhan Malaysia-China Institute (MCI) merupakan manifestasi usaha ke arah tersebut, ia juga sekaligus memperkuat hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

“Kerjasama rentas negara antara Institusi TVET Malaysia dan China melalui MCI dapat mewujudkan kesinambungan program ‘Further Study’ untuk peningkatan bakat kemahiran TVET (pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional) di masa depan.

“Ini akan membuka lebih banyak peluang untuk generasi muda kita meningkatkan kemahiran mereka dan memanfaatkan peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan kunjungannya ke Pusat Pendidikan Antarabangsa Kumpulan Beifang untuk menyaksikan beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani bagi merancakkan kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang pendidikan kemahiran.

Menurut beliau keberadaan 220 pemimpin utama Institusi TVET dan Industri China turut mencerminkan sokongan yang hebat terhadap bakat kemahiran TVET di Malaysia.

“Ini merupakan satu petanda positif untuk masa depan pendidikan kemahiran di negara kita.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BEIFANG Automotive Education Group, TANG International Education China dan BELIA MAHIR atas kerjasama yang telah membuahkan hasil positif dalam memberdayakan bakat-bakat TVET.

“Usaha ini selaras dengan pentingnya TVET dalam merapatkan jurang kemahiran,” ujar beliau.

Untuk rekod, ini adalah lawatan rasmi pertama Ahmad Zahid ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022, dan ia atas jemputan Naib Perdana Menteri China, Ding Xuexiang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.