Menerusi Belanjawan Johor 2024, Kerajaan Negeri Realisasikan Bantu Peniaga Dan Usahawan

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Kerajaan Negeri Johor merealisasikan dalam usaha membantu para peniaga dan usahawan di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi bersyukur menerusi Belanjawan Johor 2024, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM8.8 juta melalui Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB).

“Semoga segala usaha ini dapat memberikan limpahan manfaat kepada seluruh Bangsa Johor sekaligus menjayakan agenda Tahun Melawat Johor 2026. Insya-Allah,” kata Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dalam satu hantaran di laman X.

Kongsinya menerusi laman sosial itu, beliau berkesempatan hadir pada Majlis Penyerahan Khemah dan Jajahan Rakyat 2024 bertempat di Bazar Karat Johor Bahru dan sebanyak RM1 juta sebagai inisiatif untuk menceriakan bazar tersebut.

“Bazar Karat JB yang juga dikenali sebagai JB Night Market, merupakan sebuah destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai barangan unik selain disulami dengan suasana malam yang penuh kemeriahan.

“Justeru, pelbagai usaha dilaksanakan bagi membangunkan bazar ini untuk menjadi salah satu tarikan utama di Johor Bahru,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mohd Hairi Mad Shah; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Jafni Md Shukor; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Raven Kumar A/L Krishnasamy; dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman; Pegawai Daerah Johor Bahru Muzaldin Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman; Pengurus Besar PUJB Mohamad Radif Kasnin; Ketua Pegawai Perbankan Bank Rakyat Mohamad Shiblie Abg Sapuan; Pengerusi Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat Johor Bahru Fuad Rahmat; serta Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.

Seterusnya tambah Onn Hafiz, dalam majlis itu beliau turut berkesempatan menyerahkan beberapa bantuan, antaranya seperti berikut:

1. Penyerahan 1,000 unit khemah bagi fasa pertama secara serentak kepada peniaga Bazar Karat, Johor Bahru, Pontian dan Simpang Renggam;

2. Bantuan Geran Usahawan Maju Johor (GUMJ 2024);

3. Skim Pembiayaan BRJohorNiaga dengan kerjasama Bank Rakyat melibatkan lima penerima berjumlah RM220,000.00; serta

4. Penyerahan Replika Cek Program Coop Explorer dan Karnival Produk Koperasi kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Johor berjumlah RM300,000.

Selain itu, Onn Hafiz turut berkesempatan melawat kemudahan asas yang baharu sahaja siap dibina iaitu tandas awam dan surau serta berharap ia akan memanfaatkan semua pengunjung serta para peniaga di Bazar Karat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.