Ahli Parti Dinasihati Jangan Terpedaya Dakyah, Tohmahan Parti Lawan – Azhari
PUTRAJAYA, 30 Mei – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari mengingatkan kepada semua akar umbi, penyokong serta pengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar jangan terpedaya dengan dakyah yang dibawa pihak lawan.
Tegasnya, tohmahan yang sering dimainkan pembangkang sememangnya disengajakan untuk memesongkan keyakinan ahli parti dan rakyat yang kononnya mereka lebih baik dari UMNO.
“Saya menyeru kepada semua akar umbi, penyokong dan pengundi UMNO/BN agar tidak mudah terbeli dengan dakyah dan segala tohmahan yang sengaja mereka lemparkan. Mereka dahulu cuba merosakkan UMNO dari dalam yang kononnya mereka lebih baik dari UMNO.
“UMNO melahirkan ramai pemimpin yang berkualiti dan disegani tapi mereka kecewa dan mengadu domba serta memfitnah rakyat agar terus membenci parti ini.
“Ahli parti dan penyokong kukuhkan perpaduan, gunakan mesyuarat perwakilan ini dengan sebaik-baiknya dan tunjukkan solidariti kepada kepimpinan UMNO yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Pada masa yang sama kata Azhari lagi, Jelajah Penerangan UMNO yang diketuai Datuk Seri Azalina Othman Said memberi penerangan pada seluruh akar umbi cukup jelas dan beri semangat pada ahli parti untuk rampas kembali Parlimen Putrajaya.
“Jelajah Penerangan UMNO ini sangat terang dan jelas, ia memberi suntikan semangat kepada seluruh akar umbi khususnya Putrajaya bagi merampas kembali kerusi Parlimen ini pada pilihan raya akan datang.
“Saya yakin dan percaya siri Jelajah Penerangan ini akan diperluaskan ke kawasan fokus bagi memenangi pilihan raya akan datang dengan kaedah dan strategi baharu yang dipimpin oleh Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Siri jelajah ini bersesuaian dengan landskap politik baharu serta disulami dengan sistem teknologi digital yang lebih menepati sasaran kepada pengundi yang akan datang,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Untuk rekod, program jelajah tersebut membuka tirainya di UMNO Bahagian Jerantut pada 18 Mei lalu disusuli Bahagian Tapah pada 22 Mei, Tampin 24 Mei, Putrajaya 25 Mei dan Sabak Bernam 25 Mei.
Terdahulu, Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO ini telah berlangsung pada 14 Mei lalu dengan disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO.
Majlis pelancaran tersebut juga telah dihadiri oleh Azalina bersama dengan kepimpinan bahagian-bahagian yang terlibat. – UMNO Online