UMNO Harapan Rakyat, Pulih Kepercayaan Untuk Masa Depan Lebih Baik – Mohd Rafi

LABUAN, 29 Mei – Persidangan cawangan UMNO yang bakal melabuhkan tirainya minggu ini menjadi petanda bahawa UMNO adalah harapan rakyat dalam memastikan masa hadapan yang lebih baik.

Demikian kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan yang mengakui bahawa sokongan anggota akar umbi terhadap UMNO sangat kuat dan kejayaan mesyuarat-mesyuarat cawangan parti adalah bukti kukuh yang ada.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, setiap cawangan yang beliau hadiri menunjukkan sokongan yang sangat memberangsangkan dengan aliran semangat ke arah gelombang kebangkitan parti untuk perjuangan berterusan.

“Sebelum ini saya bersama kepimpinan UMNO Labuan hadir dan seterusnya merasmikan Persidangan UMNO Cawangan Ramsey. Inilah antara cawangan yang dulu saban tahun paling susah mahu cukupkan korum bagi bermesyuarat namun kali ini suasananya amat berbeza.

“Alhamdulillah kebangkitan gelombang merah UMNO di Labuan Ramsey juga tidak mahu ketinggalan. Kehadiran anak-anak muda lelaki dan wanita menjadi satu kekuatan baharu kepada kami di UMNO Labuan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, tentunya sokongan kepada mesyuarat cawangan UMNO adalah berlandaskan kepada kepercayaan dan harapan untuk perjuangan masa hadapan yang lebih baik dari hari ini.

“Kita sama-sama berusaha memulihkan kepercayaan rakyat semula kepada UMNO dan kepercayaan ini datang apabila rakyat melihat kita tetap bersama mereka sama ada menang ataupun kalah, susah ataupun senang kerana sebenarnya rakyat pandai menilai.

“Walaupun UMNO sebenarnya telah kalah buat kali yang pertama di Labuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lepas tetapi apa yang pasti UMNO sentiasa perjuangkan nasib mereka.

“Ini kerana UMNO ini lahir dari rakyat, maka insya-Allah UMNO akan terus bersama rakyat. Kita jadikan politik khidmat bakti yang sebati dalam perjuangan kita sebagai usaha terbaik dan juga amal jariah yang diredhai Allah SWT.”

Dalam hal ini, Mohd Rafi menekankan bahawa nilai perjuangan UMNO adalah berpaksikan kepada rakyat.

“Insya-Allah, Allah akan sentiasa dengan perjuangan UMNO. Syabas kepada ketua-ketua cawangan UMNO yang telah bersama-sama menggerakkan gelombang merah dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada UMNO.

“Sesungguhnya nilai kesepaduan dari akar umbi menggalas amanah buat kami demi kesinambungan komitmen kepada perjuangan UMNO, dari rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.