Selamat Pulang Daripada Bercuti MB… Bila Mahu Mula Bekerja? Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mengucapkan selamat pulang kepada Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor daripada ‘bercuti’ luar negara.

Menurut beliau pelbagai persoalan timbul berhubung ‘lawatan kerja’ Menteri Besar Kedah ke Ireland antara lain soal pelaburan dan sebagainya.

“Seperti biasa, apabila tiba sahaja musim cuti sekolah, ramai ibu bapa turut mengambil cuti untuk membawa anak anak makan angin dan melancong.

“Dan Sanusi juga tidak ketinggalan apabila beliau awal-awal sudah ‘bercuti’ ke Ireland tetapi menggunakan tiket “lawatan kerja”. Lawatan kerja apa kalau sekadar berjumpa sahabat lama, rakan-rakan dan bermain bola keranjang?

“Perjalanan Sanusi ke Ireland dan perbelanjaannya di sana sudah pasti menggunakan duit rakyat. Rakyat bukan sahaja terpaksa menanggung perbelanjaan Sanusi tetapi terpaksa menanggung hampir lima orang delegasi Sanusi ke sana yang menelan ratusan ribu ringgit,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Kata beliau lagi sebagai seorang Menteri Besar, beliau sepatutnya  mengambil peluang ini untuk bertemu dengan pelabur-pelabur yang mempunyai potensi untuk melabur di Kedah, bukan sekadar buat melawat tempat bersejarah sahaja dan ini bukanlah lawatan sambil belajar sekolah rendah.

“Hendak kata berjumpa dengan ahli akademik pun, yang dia jumpa pun seorang dua sahaja, itu pun orang Malaysia yang berada di United Kingdom. Lebih kelakar, konon bagi ceramah di Universiti Oxford, tetapi dewan pun kosong.

“Lebih sedih, Sanusi sibuk nak juga buat lawatan bersama pelajar pelajar di Dublin. Kalau tengok gambar di Facebook, adalah dalam tiga empat orang pelajar sahaja. Lebih ramai delegasi daripada pelajar. Apa cerita ni? Apa pun tujuan Sanusi ke Ireland, Sanusi perlulah menjadi seorang pemimpin yang bijak, bijak mengambil peluang, dia sepatutnya berjumpa pelabur-pelabur, sudah tetapkan pertemuan dengan syarikat-syarikat di Ireland lebih awal.

“Tetapi sayangnya tidak, pergi tangan kosong, balik pun tangan kosong tidak bawa investor. Siapa yang berhabis duit? Rakyat. Kalau hendak jadi sempoi pun, waktu buat kerja, buat kerja elok-elok, buat kerja serius.

“Ini bukan lawatan kerja, ini adalah percutian Sanusi untuk melawat kawan dan kenalan dia. Oleh itu, saya suka hendak ucapkan selamat Pulang Sanusi, dah habis bercuti, bila mahu mula kerja,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.