Program Keluarga Angkat Berhasil, Noktah Kemiskinan Tegar Negeri Johor – Mohd Jafni
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Program Keluarga Angkat yang dicetuskan oleh Kerajaan Negeri Johor semakin membuahkan hasil terutamanya dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menerusi hantaran di laman Facebooknya menzahirkan rasa syukur kerana berkesempatan meluangkan masa membawa dan menyantuni keluarga-keluarga angkatnya untuk berbelanja di Pasaraya Target IOI Mall Kulai.
“Syukur Alhamdulillah. Saya berkesempatan meluangkan masa membawa dan menyantuni keluarga-keluarga angkat saya berbelanja di Pasaraya Target IOI Mall Kulai.
“Umum mengetahui menerusi Belanjawan Johor 2024, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.2 juta bagi pembasmian miskin tegar di Negeri Johor melalui program berkonsepkan ‘keluarga angkat’,” kata Mohd Jafni yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu berharap agar segala usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor dalam membela golongan rentan ini dapat merealisasikan hasrat untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri tersebut menjelang 2027.
“Program Dapur Kasih, Keluarga Angkat ini bertujuan membantu keluarga angkat untuk membeli barangan dapur dan barang basah. Setiap bulan penerima akan dibawa berbelanja barangan di pasar yang telah ditetapkan.
“Usaha berterusan ini membuahkan hasil kerana terdapat beberapa keluarga angkat di bawah jagaan saya telah mempunyai hasil perkapita yang melebihi paras miskin tegar. Alhamdulillah.
“Semoga segala usaha yang dilaksanakan dalam membela nasib golongan rentan ini dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menoktahkan sifar miskin tegar menjelang tahun 2027. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online