Perlu Tindakan Tegas Terhadap Parti Politik Bawa Fahaman Khawarij

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Majlis Ulama UMNO berharap Majlis Raja-Raja Melayu (MRRM) untuk tegas terhadap mana-mana parti politik yang membawa politik khawarij.

Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata ini kerana ia sangat berbahaya dan mampu menggugat keharmonian umat Islam di negara ini.

“Sudah sampai masanya Majlis Raja-Raja Melayu membuat satu penegasan, mana-mana parti politik hendaklah dihalang daripada tercebak dengan fahaman seumpama itu.

“Politik khawarij adalah sangat bahaya kepada keharmonian penyatuan umat Islam dan perpaduan rakyat negara Malaysia ini.

“Gerakan mereka terlalu melampau, ekstrem, keras, sombong dan angkuh. Mereka menganggap golongan mereka saja yang benar-benar Islamik, sedangkan yang lain-lain semuanya terpesong dan keluar daripada ajaran Islam,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata lebih kritikal lagi apabila mereka dengan mudah melabel pihak yang tidak menyokong sebagai kafir.

“Apa lagi mengambil fahaman itu sebagai akidah politik yang sering melaungkan barangsiapa yang tidak sokong partinya adalah kafir dan halal diperangi.

“Jika mati kerananya adalah syahid dan terus masuk syurga. Tragedi Memali di Baling Kedah adalah bukti yang nyata,” ujar beliau.

Pemikiran khawarij ialah menjatuhkan mana-mana pemerintah yang dilabelkan ‘zalim’, manakala takfiri merujuk kepada sikap seseorang yang mudah menuduh orang lain keluar daripada Islam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.