Kerajaan Perpaduan Perlu Laksana Titah Adendum Berhubung Isu Najib – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanakan Titah Adendum berhubung kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Tegasnya, apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bertindak memfailkan afidavit bagi menyokong afidavit Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia membuktikan setiakawan UMNO dalam membela Najib.

“Apabila Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy failkan afidavit menyokong afidavit Zahid Hamidi ia mesej yang paling kuat dari UMNO.

“Zahid adalah Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Wan Rosdy pula adalah Naib Presiden kanan UMNO dan Menteri Besar Pahang. Itulah setiakawan UMNO membela Najib.

“Justeru kerajaan PMX perlu komited melaksanakan Titah Adendum itu. UMNO bukan minta perkara yang tidak wujud,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa Kerajaan Perpaduan wajar menghormati Titah Adendum tersebut.

“Kerajaan Madani wujud atas prinsip menerima dan menghormati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu.

“Justeru amat wajar Titah Adendum itu juga dihormati oleh Kerajaan Madani. UMNO konsisten dan tidak menikam serta bercuriga,” katanya.

Pada Isnin media melaporkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak, mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Afidavit itu diikrarkan Wan Rosdy menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co, di Mahkamah Tinggi, pada 21 Mei lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.