Isham Jalil… Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin, Awak Tak Hendak Saya Lagi Tak Ingin

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kesediaan parti itu untuk menerima kembali bekas pemimpin dan ahli parti yang telah dipecat sebelum ini bukanlah satu perkara baharu namun merupakan proses biasa mengikut perlembagaan serta peraturan sedia ada.

Justeru tegas beliau mana-mana yang ingin kembali boleh melakukannya berdasarkan peraturan yang termaktub di dalam perlembagaan parti dan akan diputuskan oleh peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Isham Jalil bukan mewakili ramai orang, dia tak kembali, kita pun tak ingin… ikutkan saya senang je, kalau apa pantunnya, ‘pinggan tak retak, nasi tak dingin, awak tak hendak, saya lagi tak ingin’.

“Ini bukan untuk Isham Jalil… ini adalah untuk mereka yang merasakan bahawa mereka sudah bersedia untuk kembali ke pangkuan UMNO dan mereka boleh memohon dan MKT akan putuskan, itu saja.

“Dan ini adalah proses biasa, terbuka pun kepada mana-mana ahli-ahli yang baru atau bekas ahli UMNO… ini terbuka dan ini bukan satu perkara baru malah ini adalah satu perkara yang biasa kita lakukan,” katanya kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi mana-mana yang ingin kembali ke pangkuan parti dialu-alukan dan proses biasa akan dilaksanakan kelak.

“‘Nothing new’… cuma yang barunya Isham Jalil mungkin merasakan dia begitu istimewa dan tawarannya untuk dia… ‘no, we are not going to offer’. Mereka mohon dan kita timbang.

“Ya, bebas dan MKT akan buat keputusan. MKT tentulah ada beberapa peraturan dan beberapa perkara yang lunas-lunas perlu diikut dan kita akan tengok balik apakah faktor-faktor yang boleh kita terima rayuan itu. Tentulah ada pelbagai peraturan yang harus diikut oleh MKT.  Kita ada peraturan kita dan cuma saya sebut bahawa kita terbuka mereka boleh mohon,” tambahnya.

Sebelum ini dilaporkan UMNO sedia pertimbang untuk menerima semula pemimpin dan ahlinya yang disingkirkan ketika melakukan proses pemutihan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Jalaluddin berkata peluang kedua itu berikutan ada di kalangan mereka yang disingkirkan sebelum ini namun masih menunjukkan kesetiaan kepada parti dan berminat menyertai semula parti terbesar kaum Melayu.

Katanya, ada di kalangan mereka yang disingkirkan selepas proses pemutihan itu mahu menjadi ahli UMNO semula selepas melihat keadaan parti itu ketika ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.