Ini Masa Untuk Kukuhkan Parti… Bukan Bertelagah, ‘Cah Keting’ Satu Sama Lain – Hang Tuah

TAPAH, 29 Mei – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din beranggapan bahawa ini adalah masa untuk memperkukuhkan parti dan bukannya bertelagah mahupun ‘cah keting’ antara satu sama lain.

Jelasnya, ini adalah masa yang sesuai untuk merapatkan saf di peringkat akar umbi agar UMNO lebih kukuh dan teguh dalam menghadapi situasi politik dinamik pada masa kini.

“Sepatutnya ini adalah masa untuk kita memperkukuhkan parti. Sekarang ini adalah musim cawangan-cawangan bersidang. Selepas ini bahagian dan kemudian di peringkat kebangsaan ataupun Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Jadi dalam keadaan sekarang ini, sepatutnya kita lebih fokus kepada mengukuhkan dasar di akar umbi. Ini bukan masa untuk kita bertelagah atau ‘cah keting’ antara satu sama lain.

“Ini adalah masa untuk kita merapatkan semula saf di peringkat akar umbi, supaya UMNO itu lebih teguh dan kukuh untuk menghadapi politik yang pelbagai pada hari ini. Sebab pandangan ini boleh berbagai,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, ahli dan akar umbi bebas untuk memberikan sebarang sumbang saran kepada parti namun perlulah mengikut saluran yang telah ditetapkan.

“Ahli-ahli parti boleh mengeluarkan pandangannya. Tetapi seperti yang saya katakan tadi, yang pentingnya hari ini adalah kita mengukuhkan parti. Kita tak bolehlah dengar satu orang bercakap dan kita pula nak melompat.

“Itu hak ahli-ahli parti nak bercakap… dia bercakaplah, tidak mengapa. Tetapi kita juga ada Majlis Kerja Tertinggi (MKT), institusi Presiden dan sebagainya. Sudah semestinya apabila seseorang itu dilantik, bermakna Presiden telah melihat bahawa mereka ini boleh menjalankan tugas.

“Mungkin suatu masa nanti akan bertukar orang lain, kita tak tahu. Tetapi sekarang ini bagi ruang kepada Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk meneruskan tugas-tugas beliau. Saya percaya bahawa beliau sedang menyusun dengan sebaik mungkin untuk memastikan bahawa Penerangan UMNO bergerak dengan lancar dan baik,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.