Subsidi Bersasar, Kenaikan Gaji Dan Harga Barang… Kerajaan Perlu Guna Formula Berkesan

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Kerajaan perlu menggunakan formula yang berkesan untuk mengimplementasikan subsidi bersasar, kenaikan gaji dan juga harga barang demi kepentingan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, kenaikan harga barangan asas dan kos sara hidup rakyat merupakan isu yang berpanjangan dan ia perlu diselesaikan sebaik mungkin.

“Isu kenaikan harga barangan asas dan kos sara hidup rakyat perlu ditangani segera oleh kerajaan. Ini adalah isu berpanjangan yang perlu diselesaikan dengan formula yang akan dapat memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada semua pihak.

“Pengumuman berkaitan subsidi petrol tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara telah memberi kebimbangan khususnya kepada golongan B40 memandangkan penggunaan kuantiti petrol tetap sama kepada mereka dan tiada tambahan dari segi pulangannya.

“Ditambah lagi dengan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini yang tentunya akan memberi kesan besar kepada harga barangan dan perkhidmatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, kenaikan gaji penjawat awam turut mencetuskan kebimbangan rakyat kerana ia akan menjurus kepada situasi kenaikan harga terutamanya barangan asas.

“Berdasarkan sejarah dan perkiraan semasa, apabila berlaku kenaikan gaji penjawat awam maka akan berlaku juga peningkatan kenaikan membabitkan barangan khususnya keperluan asas. Maka ini juga memberi kebimbangan yang bukan sedikit ekoran beban yang dirasai membabitkan semua lapisan masyarakat termasuk pekerja swasta yang tiada sebarang perubahan gaji.

“Ini adalah isu teras yang lebih kritikal untuk diberi perhatian oleh kerajaan memandangkan ia melibatkan kebajikan rakyat yang sekarang ini pun sudah berkeluh kesah dan merasai keperitan dengan pelbagai kos sara hidup semasa.

“Sehingga ke hari ini dilihat bahawa kerajaan masih belum tuntas melaksanakan penyelesaian berkaitan masalah harga barangan keperluan asas, kos sara hidup, kos perkhidmatan dan kos perniagaan yang masih terus meningkat, malah dilihat usaha penguatkuasaan seakan tidak berkesan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan kerajaan untuk mengaplikasikan langkah Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir negara dengan memberikan subsidi seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Mungkinkah wajar jika kerajaan melaksanakan formula percukaian yang lebih berkesan atau langkah yang lebih proaktif dipertimbangkan agar kelompongan dapat dielakkan khususnya tidak terus menekan golongan bawahan sementara individu-individu maha kaya dan syarikat-syarikat berkeuntungan maha besar tidak terlepas.

“Sebagai sebuah kerajaan maka sepatutnya konsep prihatin dilaksana seiring dengan tingkah bagi keselesaan rakyat, melakukan usaha berkesan dan bukannya menekan rakyat.

“Jika tidak pun, aplikasi sahaja langkah yang pernah dilakukan kerajaan BN suatu ketika lalu, memberikan subsidi sebagaimana BR1M dan sebagainya serta melaksanakan percukaian iaitu GST untuk pendapatan negara. Tak salah pun menoleh kalau itu yang terbaik untuk rakyat, kerana kerajaan yang adalah hasil pilihan rakyat maka kembalikanlah kesejahteraan kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.